MOHD Syarul Azman Mahen Abdullah. FOTO arkib NSTP
MOHD Syarul Azman Mahen Abdullah. FOTO arkib NSTP
Azlan Muhammad  Zain


PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (PBBM) tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan susulan kekecewaan yang diluahkan Mr Universe, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah terhadap layanan yang diterimanya daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut Setiausaha Kehormatnya, Kamarulzaman Kadir, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama ISN dalam masa terdekat.

"Saya akan mencari ruang bagi membincangkan perkara ini bersama ISN. Saya mengucapkan terima kasih kepada ISN, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) yang membantu atlet kita ke kejohanan di India ini," katanya.

Syarul Azman semalam meluahkan kekecewaannya dengan menyifatkan dirinya menerima layanan kelas ketiga selepas usahanya mendapatkan suntikan gel di lututnya ditolak atas alasan bina badan bukan dalam kategori sukan teras dan terpaksa membuat rayuan.

Bagaimanapun, YAKEB tampil menghulurkan bantuan kewangan yang berjumlah RM2,600 kepada Mr Universe dan Mr Asia berkenaan bagi membolehkan ia dilakukan di klinik swasta.

PBBM yang menggunakan dana sendiri pada tahun ini menghantar tiga atlet ke India yang diketuai Syarul Azman selain Melvyn Abdullah dan Faiz Ariffin.

Atlet bina badan negara tidak pernah mengecewakan apabila setiap tahun membawa pulang kejayaan dengan edisi 2017 menyaksikan Syarul Azman dan Melvyn muncul juara pada kejohanan yang berlangsung di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 7:36 PM