STUART bercakap pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya. FOTO/MAHZIR MAT ISA
STUART bercakap pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya. FOTO/MAHZIR MAT ISA
Firdaus Hashim

 

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya sedang berusaha mendapatkan slot automatik ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekiranya pasukan dari Malaysia gagal di Kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL).

Menurut Stuart, ia perlu bagi memastikan kelab dari negara membangun seperti Malaysia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa selain dapat menjaga nilai komersial bagi sesebuah liga tempatan. 

AFC sebelum ini, memberi slot 1+1 ke saingan ACL bermula musim 2019-2020 dengan tahun ketiga iaitu pada 2021 akan ditentukan semula berdasarkan kepada ranking terbaru ketika itu.

"Mulai tahun depan kelab dari Malaysia akan mula bermain di ACL dengan satu pasukan secara automatik diundi dalam kumpulan pertandingan, manakala satu lagi pasukan terpaksa mengharungi peringkat kelayakan terlebih dulu,” kata Stuart.

"Sekiranya pasukan kita gagal di pusingan kelayakan, maka tidak akan ada lagi perlawanan di peringkat Asia. Ini bermakna pasukan berkenaan hanya akan bermain sekali saja biarpun sudah membuat banyak pelaburan untuk mendapatkan pemain terbaik dan menyediakan persiapan kemudahan mengikut standard AFC.

"Jadi bagi saya ia tidak baik untuk pembangunan berterusan buat negara membangun seperti Malaysia ini. Sebab itu kami (FAM) sedang berusaha untuk mendapatkan tiket automatik kepada pasukan yang terkandas di kelayakan supaya beraksi pula di Piala AFC. 

"Ia bukan sahaja bermanfaat kepada Malaysia tetapi ia juga baik untuk negara-negara membangun dalam bola sepak seperti Singapura, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Apapun, jika ia diterima (AFC) saya fikir cadangan itu hanya boleh dilaksanakan pada tahun 2021 nanti."

Slot ke ACL dari Malaysia akan diisi oleh juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bersaing di peringkat kumpulan manakala juara Piala FA, Pahang perlu berentap di pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, tempat Pahang akan digantikan oleh Perak ekoran penggantungan selama dua tahun yang diputuskan FAM musim lalu berikutan keengganan skuad Tok Gajah mewakili negara bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC untuk saingan Piala AFC musim ini

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 9:56 PM