SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
Firdaus Hashim


PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Perak bakal mengisi satu daripada dua slot Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang diperuntukkan kepada Malaysia bagi saingan itu musim depan.

Perak yang muncul naib juara Liga Super akan beraksi di pusingan kelayakan ACL dengan juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus ke peringkat kumpulan saingan yang dijadualkan bermula pada Februari depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam apabila juara Piala FA, Pahang sehingga kini masih gagal mengemukakan sebarang rayuan selepas Lesen Kelab mereka digantung selama dua tahun oleh badan induk tempatan itu.

"Mereka (Perak) sudah 'sebelah kaki' layak secara merit untuk menggantikan Pahang," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.

"Tapi saya rasa Perak dalam landasan untuk mendapat lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan rasanya mereka tiada masalah untuk menerimanya.

"Malah, Perak memang berusaha untuk mendapatkan lesen terbabit dan mereka kerap menghubungi bahagian pelesenan kelab di bawah FAM dan AFC bagi mendapatkan panduan untuk mempersiapkan segala dokumen dan kemudahan asas yang diperlukan," katanya.

Pada Julai lalu, skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh berjaya menempah slot ke pusingan kelayakan ACL selepas muncul juara Piala FA menewaskan Selangor 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Pahang digantung dua tahun oleh FAM kerana menolak untuk mewakili Malaysia dalam Piala AFC musim ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC.

Tawaran berkenaan ditolak Pahang kerana diterima agak lewat dan persiapan mereka lebih terarah kepada pertandingan domestik.

Akibatnya, Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftar pasukan ke Piala AFC musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen AFC untuk dua tahun, bermula musim ini.

"Namun, sekiranya Pahang menghantar rayuan, permohonan mereka itu tetap akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Rayuan di peringkat FAM. Seandainya lepas, ia akan melalui proses di peringkat AFC pula dan saya rasa agak sukar kerana sudah kesuntukan masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 4:33 PM