KEJAYAAN Kim Swee (kiri) tak dapat dipertikaikan lagi. -Foto Fathil Asri
KEJAYAAN Kim Swee (kiri) tak dapat dipertikaikan lagi. -Foto Fathil Asri
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengkaji kedudukan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bagi dilantik memegang peranan lebih besar sebagai ketua jurulatih skuad senior negara.

Pencapaian layak ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China, Januari lalu dan kejayaan menundukkan Korea Selatan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini tidak harus dipertikaikan.

Jelasnya, walaupun ketika ini Tan Cheng Hoe pengendali sah skuad Harimau Malaya, namun perubahan itu perlu bagi memastikan momentum dan kesinambungan corak permainan itu kekal hingga ke Piala AFF, November depan.

“Ini hanya pandangan peribadi saya, sepatutnya Kim Swee harus melatih skuad senior kerana kita mahu ‘air tangan’ beliau kekal hingga ke Piala AFF.

“Anda dapat lihat bukti di depan mata yang mana pemain B-23 cukup serasi di bawah kendalian Kim Swee. Lihat saja mereka berjaya mara ke suku akhir buat kali pertama pada Kejohanan AFC di China.

“Tahap konsisten itu diteruskan di Sukan Asia dengan dibantu dua pemain lebih umur seperti Bad (Baddrol Bakhtiar) dan Rizal (Rizal Ghazali). Mereka mengejutkan Korea Selatan dan kemudian hampir menewaskan Jepun tapi tewas 0-1.

“Jadi apa yang saya nak katakan, kalau pasukan dilatih Kim Swee sudah tentu beliau akan mengekalkan gaya permainan itu.

“Sebaliknya jika Cheng Hoe, sudah pasti falsafah bola sepaknya berlainan dan pemain terpaksa mengikutnya ketika sebahagian besar pemain dipanggil ke kem latihan adalah dari skuad B-23,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Saranan Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby itu pernah dipraktikkan oleh Thailand pada 2014 apabila skuad Sukan Asia bimbingan Kiatisuk Senamuang berjaya mara ke separuh akhir temasya di Incheon, Korea Selatan.

Bagi memastikan rentak itu dikekalkan, khidmat Kiatisuk diteruskan dan hasilnya pada hujung tahun sama mereka muncul sebagai raja bola sepak ASEAN apabila menjuarai Piala AFF dengan menewaskan Malaysia kendalian Dollah Salleh menerusi kemenangan 4-3 secara agregat.

Malah, ketika era kebangkitan pada 2010, generasi emas pasukan kendalian Datuk K Rajagobal juga melalui proses sama apabila kejayaan mara hingga ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou menyaksikan mereka menjuarai Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah meskipun sebilangan besar dibarisi pemain muda.

“Semuanya terpulang kepada FAM sendiri. Apa yang mereka mahu di Piala AFF nanti? Adakah mahu mencabar kejuaraan atau sekadar mahu memeriahkan saja. Jika benar inginkan sesuatu, FAM di bawah pimpinan presiden baharu (Datuk Hamidin Mohd Amin) perlu menilai pandangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 3:32 PM