SKUAD pecut berpasukan lelaki mempamerkan kayuhan positif di ACC. FOTO AZRUL EDHAM
SKUAD pecut berpasukan lelaki mempamerkan kayuhan positif di ACC. FOTO AZRUL EDHAM
Zulkarnain Azman


Nilai: Trio pecut lelaki negara yang dibarisi Mohd Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah berharap gandingan mereka akan dikekalkan menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 di China September depan.

Menurut Ridwan, berdasarkan pencapaian yang pingat gangsa diraih mereka Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu lalu, sekali gus memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda untuk menyerlah.

"Saya harap pasukan (trio) ini dapat dikekalkan kerana Azizulhasni dan Shah Firdaus boleh memberikan fokus dalam acara individu (pecut dan keirin pada Sukan Asia 2022).

"Jadi ia akan memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda seperti saya dan Umar untuk beraksi pada Sukan Asia dalam acara berpasukan ini nanti.

"Buat masa ini, kami sudah melaksanakan tugas dengan baik dan Fadhil ketua kami. Jadi saya harap pasukan (trio) ini akan kekal sehingga Sukan Asia," katanya.

Terdahulu, ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley bagaikan memberi bayangan Azizulhasni dan Shah Firdaus akan memberikan tumpuan dalam acara individu - pecut dan keirin pada Sukan Asia kali ini.

Malah, Beasley tidak menolak kemungkinan Fadhil, 25, Ridwan, 22, dan Umar, 20, diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan di Hangzhou nanti.

"Apa yang berlaku di sini (ACC 2023) satu keputusan positif dan sudah tentu kami berharap dapat meraih pingat pada Sukan Asia (jika dipilih beraksi).

"Seperti mana yang kami buat pada ACC, kami akan cuba tampil dengan prestasi yang baik. Harap dapat bawa pulang pingat, sekurang-kurangnya gangsa," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Azizulhasni bersama-sama Shah Firdaus dan Fadhil meraih pingat perak acara pecut berpasukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 3:36 PM