MOURINHO perlu cetus impak segera atasi kekalahan aksi minggu lalu. FOTO/AGENSI
MOURINHO perlu cetus impak segera atasi kekalahan aksi minggu lalu. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Permulaan sukar buat Manchester United mampu menjadi lebih buruk melainkan Jose Mourinho mampu mencetus kebangkitan skuad bimbingannya berdepan Tottenham Hotspur Isnin ini.

United sudah ketinggalan tiga mata di belakang penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Chelsea dan Liverpool selepas tewas 3-2 di tangan Brighton hujung minggu lalu dan jurang itu bakal melebar dengan ketiga-tiga pasukan teratas itu dijangka menang lagi hujung minggu ini.

City bertandang ke Wolves dan Liverpool akan melayan kunjungan Brighton esok, manakala Chelsea mengunjungi laman Newcastle pada Ahad.

Spurs juga masih belum tercicir mata selepas mengatasi Newcastle dan Fulham pada dua perlawanan pertama untuk terus berada dalam kelompok teratas.

Reaksi Mauricio Pochettino terhadap kelab yang tidak melakukan pembelian pada jendela perpindahan lalu serta kelewatan berpindah ke stadium baharu perlu dicontohi Mourinho.

Pochettino langsung tidak menyatakan kekecewaannya, sebaliknya sering melaungkan supaya lembaga pengarah, skuad dan penyokong bersatu hati. Ternyata tindakan itu membuahkan hasil di minggu-minggu awal kempen.

United, berbeza dengan namanya, menampilkan perpecahan antara naib pengerusi eksekutif Ed Woodward, pemain tonggak Paul Pogba dan Mourinho sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 11:34 AM