ROBERTO Firmino mencabar Fernandinho ketika City menang 2-1 pada Januari. FOTO Agensi.
ROBERTO Firmino mencabar Fernandinho ketika City menang 2-1 pada Januari. FOTO Agensi.
AFP

MANCHESTER City dan Liverpool terus saling mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini tatkala Ole Gunnar Solskjaer buat kali pertama mengendalikan Manchester United sebagai pengurus tetap.

Sebaik berakhirnya perlawanan antarabangsa City memiliki lapan perlawanan untuk mengekalkan gelaran mereka namun jika tersilap langkah, Liverpool sedia bangkit untuk menjadi juara Inggeris buat kali pertama sejak 1990 dengan memenangi tujuh perlawanan terakhir mereka.

City kendalian Pep Guardiola yang ketinggalan dua mata berbanding Liverpool mampu memberi tekanan kepada skuad Juergen Klopp itu jika menang ke atas Fulham malam esok.

Liverpool pula berdepan tugas lebih berat untuk menanti kunjungan Tottenham pada Ahad namun sedar kemenangan akan membantu mereka menjulang gelaran dengan jadual perlawanan lebih mudah selepas itu, kecuali perlawanan menentang Chelsea di laman sendiri.

“Dengan musim seperti itu, anda sentiasa menyiapkan asas untuk minggu-minggu terakhir,” kata Klopp kepada laman web rasmi Liverpool.

“Kami kini berada di minggu-minggu terakhir dan tiada lagi gangguan, hanya satu demi satu perlawanan dan kesemuanya sangat penting.”

Klopp tidak berdepan isu kecederaan pemain malah semakin optimis dengan Spurs pula semakin menjunam dan mungkin tersingkir daripada kelompok empat teratas.

Anak buah Mauricio Pochettino hanya meraih satu mata daripada empat perlawanan liga terakhir dan mungkin kelebihan tiga mata ke atas Manchester United akan hilang sebaik sepak mula di Anfield.

Kejatuhan Tottenham bermakna Arsenal, Manchester United dan Chelsea kini dalam perebutan empat penjuru untuk tiket Liga Juara-Juara di belakang Liverpool dan City.

Skuad Unai Emery, Arsenal adalah yang paling menyerlah dalam kumpulan itu dan akan melangkah ke perlawanan menentang Newcastle dengan semangat selepas berjaya menewaskan United sebelum rehat antarabangs.

“Dalam lapan perlawanan berikutnya, kami perlu bermain dengan lebih banyak personaliti seperti ketika menentang Manchester United,” kata Emery kepada laman web Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 9:54 AM