BINTANG Jepun, Keisuke Honda (kiri). FOTO AFP
BINTANG Jepun, Keisuke Honda (kiri). FOTO AFP
AFP

BINTANG Jepun, Keisuke Honda menandatangani kontrak dua tahun tanpa gaji sebagai pengurus skuad kebangsaan Kemboja hari ini.

Honda yang menyertai kelab A-League, Melbourne Victory awal bulan ini dan bersara daripada bola sepak antarabangsa bulan lalu selepas Jepun tewas kepada Belgium di Piala Dunia, berkata dia berminat untuk membantu bola sepak Kemboja dan mempromosi negara berkenaan.

“Saya akan membantu Kemboja membangunkan gaya permainan sebenar,” kata penyerang berusia 32 tahun dan bekas pemain AC Milan itu.

Honda akan berhubung dengan pemain menerusi persidangan video dari Australia dan akan berada di Kemboja sekerap mungkin di luar komitmen sedia ada.

“Persekutuan Bola Sepak Kemboja gembira dengan persetujuan Honda untuk memberi sokongan secara sukarela dan membantu melatih skuad kebangsaan Kemboja,” kata presidennya Sao Sokha.

Kemboja kini menduduki ranking ke-166 dunia. Honda sebelum ini pernah melancarkan akademi bola sepak di Kemboja pada tahun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:20 PM