Brisbane: Kali pertama percubaan Keisuke Honda (gambar) terkena tiang, dia menutup mukanya dengan tangan, marah dengan dirinya kerana tersasar.

Kali kedua berlaku, dia mengangkat kedua-dua tangannya ke udara bagaikan tidak percaya apa yang berlaku. Apabila kali ketiga ia berlaku, hanya senyuman kecil terukir di bibirnya, seperti mengakui nasibnya memang kurang baik.

Honda bagaimanapun menjaringkan satu gol, jaringan dianggap paling penting apabila memanfaatkan sepakan penalti ketika Jepun menang 1-0 ke atas Iraq dalam saingan Piala Asia, semalam.

Dia juga dinamakan pemain terbaik perlawanan selepas persembahan bertenaga yang menyaksikannya acap kali mengancam pertahanan Iraq. Tapi tiga percubaan gagal dimanfaatkannya yang lebih merisaukannya.

“Tapi itulah bola sepak, bukan?” dia memberitahu sidang media. “Tapi saya janji akan menjaringkan gol selepas ini,” kata Honda.

“Kami mempunyai dua atau tiga peluang dan gagal menjaringkan gol, tapi saya masih gembira dengan tiga mata,” kata jurulatih jepun Javier Aguirre.

Honda dinamakan pemain terbaik kejohanan ketika Jepun menjuarai Piala Asia 2011, tetapi Aguirre meminta pemain itu diberikan ruang dengan tidak terlalu menaruh harapan tinggi terhadapnya.

“Honda pemain penting buat kami, tapi saya tidak pernah menyaksikan seorang pemain boleh memenangi takhta,” kata jurulatih berbangsa Mexico itu.

“Tapi 11 pemain, boleh. Honda melakukan beberapa gerakan menarik hari ini dan menjadi inspirasi kepada pasukan, tapi kami bermain sebagai satu pasukan.”

Percubaan Honda terkena tiang pada awal separuh masa dengan tandukan dalam kotak penalti, sesuatu yang dia selalunya akan menjaringkan gol.

Pemain berusia 28 tahun itu kemudian tenang menjaringkan penalti pada minit ke-23. Ketika itu dia menjangkakan nasibnya akan mula berubah, tetapi dia silap.

Dua minit memasuki separuh masa kedua, dia melepaskan sepakan dari luar kotak penalti yang terkena tiang. Kemudian, percubaannya sekali lagi terkena tiang selepas gerakan pemain gantian Hiroshi Kiyotake yang menyaksikan pemain AC Milan itu hanya perlu menolak masuk.

“Walaupun gagal menjaringkan gol melalui tiga percubaan itu, saya fikir saya melakukan beberapa perubahan besar dalam perlawanan,” katanya. “Saya gembira dapat tiga peluang itu tapi sudah tentu saya sepatutnya menjaringkan gol.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:04 AM