Syazwan Msar


Phnom Penh: Persoalan terbabit timbul apabila venue utama temasya Sukan Sea Kemboja iaitu Stadium Morodok Techno, dekat sini, tidak ubah seperti kem tentera apabila kelibat mereka berada di hampir seluruh kawasan itu sekali gus terbit rasa 'gerun' kepada pengunjung dan orang luar.

Hasil tinjauan di venue terbabit mendapati ribuan tentera memenuhi kawasan sekitar stadium sejak seminggu lalu dengan mereka diberikan peranan masing-masing sepanjang tempoh sukan Sea berlangsung.

Malah, mereka juga difahamkan adalah antara watak penting yang memainkan peranan sebagai penari dalam menjayakan upacara pembukaan rasmi Sukan Sea 2023 esok.

Menurut sekretariat sukan Sea Kemboja yang ditemui turut mengakui kekuatan anggota tentera digunakan untuk menjayakan persembahan pada upacara pembukaan selain turut berperanan mengawal keselamatan atlet dan pengunjung di venue utama sukan Sea.

"Jangan takut, kehadiran mereka hanyalah sebagai sukarelawan pada acara pembukaan Sukan Sea saja. Pada masa sama, kehadiran tentera turut mahu mengawal keselamatan atlet dan pegawai sukan.

"Ribuan tentera dikerah untuk jayakan temasya ini dan mereka bermalam di kawasan stadium sehingga temasya berakhir," katanya yang hanya dikenali sebagai Sokha.

Mengikut rekod, sukan Sea Kemboja bakal menghimpunkan lebih 5,000 atlet daripada 11 negara yang akan bersaing dalam 589 acara.

Kebanyakan acara utama akan berlangsung di sekitar Stadium Morodok Techno yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar.

Pada edisi kali ini, Malaysia yang rata-rata dibarisi atlet pelapis meletakkan sasaran sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 1:15 PM
ANGGOTA tentera yang akan bertugas sebagai sukarelawan pada majlis perasmian Sukan Sea Kemboja. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA tentera yang akan bertugas sebagai sukarelawan pada majlis perasmian Sukan Sea Kemboja. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali