PEMAIN tengah kebangsaan Colombia, Jefferson Lerma sertai Bournemouth dengan nilai RM131.5 juta. FOTO Agensi
PEMAIN tengah kebangsaan Colombia, Jefferson Lerma sertai Bournemouth dengan nilai RM131.5 juta. FOTO Agensi
AFP

BOURNEMOUTH membeli pemain tengah kebangsaan Colombia, Jefferson Lerma dari kelab Sepanyol, Levante dengan mencatat rekod bayaran kelab, umum pasukan Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun, bergantung kepada pelepasan antarabangsa, dengan bayaran dilaporkan £25 juta (RM131.5 juta).

“Bukan rahsia Jefferson pemain yang kami buru pada musim panas kali ini,” kata pengurus Bournemouth, Eddie Howe.

“Jefferson pemain berbakat dan seorang atlet yang bagus membawakan corak permainan berbeza di bahagian tengah kami.

“Dia mempunyai banyak kualiti yang sesuai dengan Liga Perdana dan saya tidak sabar untuk menerima kehadirannya.”

Lerma, yang beraksi semua empat perlawanan Colombia pada Piala Dunia di Russia termasuk ketika tewas kepada England pada pusingan 16 terakhir, menjaringkan tiga gol dalam 93 penampilan bagi semua pertandingan selama tiga musim di Levante.

“Saya sering kali sukakan gaya bola sepak Liga Perdana dan saya amat gembira untuk mendapat peluang ini,” kata Lerma.

“Saya berharap melakar kejayaan dan melakukan perkara penting buat kelab ini.”

Bournemouth kali pertama naik ke Liga Perdana pada 2015 dan berakhir di tangga ke-12 musim lalu selepas penamat tangga kesembilan pada musim sebelumnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 4:59 PM