DAVID LUIZ
DAVID LUIZ
AFP

LONDON: Pertahanan Chelsea, David Luiz menggesa Thibaut Courtois dan Eden Hazard supaya terus kekal di Stamford Bridge namun pertahanan Brazil itu optimis The Blues mampu terus memberi cabaran meskipun dua pemain itu ‘mengangkat kaki’.

Kontrak Courtois, 26, hanya berbaki setahun dan sering dikaitkan dengan perpindahan Real Madrid namun Chelsea berisiko melepaskannya pada nilai lebih rendah pada Januari ataupun secara percuma pada musim panas depan.

Kontrak Hazard bersama Chelsea juga akan berakhir pada 2020 dan kini dia masih menangguhkan untuk menerima tawaran kontrak baharu ketika dia juga turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

“Chelsea mahukan pemain terbaik mereka untuk terus kekal. Mereka mengenali Chelsea jadi mereka tahu apa yang sudah mereka lalui dan keseronokannya di sini.

“Semua orang sayangkan mereka jadi saya harap mereka dapat terus kekal di sini,” kata Luiz.

Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri mengesahkan dia bersedia melepaskan Courtois jika pemain itu sendiri yang menyatakan hasrat untuk berpindah.

Jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan ditutup Khamis ini namun Luiz yakin betapa Chelsea memiliki pemain yang cukup bagus sekiranya dua bintang terbabit berpindah.

“Saya mahu mereka kekal kerana kami memiliki pemain terbaik yang berkeyakinan tinggi.

“Namun jika mereka tetap mahu meninggalkan pasukan ini, saya rasa kita masih ada pemain yang hebat.

Selain Courtois dan Hazard, Willian juga menjadi pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United namun Luiz menegaskan rakan sepasukannya itu tidak akan berpindah.

“Sejak dari mula lagi, dia menyatakan kepada saya bahawa dia mencintai pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 8:51 PM