PORNANONG mendahului dengan jumlah 13 bawah par 203. FOTO/AFP
PORNANONG mendahului dengan jumlah 13 bawah par 203. FOTO/AFP
AFP

LYTHAM ST ANNES, England: Pemain Thailand, Pornanong Phatlum mengatasi perasaan gemuruh apabila dia mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu dengan catatan 69 pada pusingan ketiga Terbuka Wanita British di Royal Lytham & St Annes, awal pagi tadi.

Dengan jumlah 13 bawah par 203, dia mendahului satu pukulan di depan pemain tuan rumah Georgia Hall manakala pemain Korea Selatan, Ryu So Yeon satu pukulan lagi di belakang dengan 11 bawah par.

Hall, yang membenam beberapa putt menakjubkan, meraih lima birdie sebelum melakar 69 untuk mencerahkan peluang mengatasi pencapaian tahun lalu berkongsi tangga ketiga dan muncul pemenang pertama Britain sejak kejayaan pemain Scotland, Catriona Matthew di Lytham sembilan tahun lalu.

Pornanong gagal melepasi had kelayakan dalam tujuh penampilan terdahulu pada kejohanan itu dan keputusan terbaiknya dalam kejuaraan utama adalah berkongsi tangga ketujuh pada Terbuka Wanita AS 2014.

Namun susulan dua catatan 67 membantunya mendahului dengan satu pukulan selepas separuh saingan, pemain berusia 28 tahun itu mencipta satu lagi pusingan mengagumkan dengan empat birdie. Satu-satunya kesilapan pemain itu dalam 54 lubang hadir apabila dia bogey lubang ke-12, yang mana dia gagal bermain baik pukulan dari bunker.

Pukulannya bagaimanapun jarang terlepas dari fairway dan dia membenam birdie pada green ketiga, keenam, kelapan dan ke-11.

“Saya berasa amat gembira ketika ini,” katanya selepas menamatkan pusingan. “Saya agak gemuruh tapi seronok. Saya bermain dengan keyakinan tinggi. Rekod saya tidak bagus di British, tapi saya meraih lebih pengalaman setiap tahun.

“Saya akan cuba dan terus melakukan perkara sama esok dan cuba kekal bertenang.”

Hall tidak berada pada tahap terbaiknya pada pusingan ketiga.

“Congakan saya tidak bagus dalam sembilan lubang pertama, tapi saya puas hati dengan tiga bawah par,” kata pemain berusia 22 tahun itu, yang membenam birdie dari jarak 12 kaki pada lubang terakhir. “Ia hasil kerja keras, tapi saya terlalu gembira dengan cara saya melakukan pukulan putt.

“Saya melakukan lebih banyak putt berbanding biasa dan saya fikir itulah kuncinya. Saya akan melakukan perkara sama esok. Seronok juga mendapat sokongan padu daripada penonton.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 9:05 AM