STREB berjaya melakukan beberapa pukulan sempurna untuk mendahului pusingan pertama Piala CJ. FOTO AFP
STREB berjaya melakukan beberapa pukulan sempurna untuk mendahului pusingan pertama Piala CJ. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Robert Streb memulakan aksi dengan cemerlang selepas melakukan 11 di bawah par 61 dan mendahului hari pertama saingan Piala CJ di Summit Club di Las Vegas, Nevada.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu yang juga juara dua kali Jelajah PGA AS, melakukan lima birdie dan membenam satu eagle untuk melakar tujuh di bawah par selepas enam lubang.

Bogey pada lubang ke-11 tidak menghalang Streb untuk bangkit dengan melakukan birdie pada lubang ke-12, 13 dan 14 sebelum mengulanginya di lubang ke-16 dan 18.

"Semuanya berjalan dengan baik," kata Streb pada aksi pembukaan yang menakjubkan, apabila melakukan birdie dari jarak 2.1 meter (m) di lubang pertama, diikuti dengan birdie kedua dengan jarak 1.8m.

Dia membenam eagle hasil putt sejauh 3.6m di lubang ketiga, diikuti birdie pada jarak 5.1m di lubang keempat.

"Sebenarnya saya berjaya melakukan pukulan yang membolehkan bola dekat dengan lubang dan putt saya pula menjadi. Saya tidak pernah memulakan kejohanan seperti ini, jadi ia agak menarik.

"Selepas itu permainan saya sedikit menurun di pertengahan tapi ia satu permulaan yang baik," katanya.

Tempat kedua diisi rakan senegara, Keith Mitchell yang kurang satu pukulan di belakang Streb.

Mitchell, yang gagal melepasi cut dalam dua kejohanan sebelum ini, membenam 10 birdie dan menyamai pencapaian terbaik sepanjang kariernya dengan 10 di bawah par 62.

Seorang lagi pemain AS, Harry Higgs di tempat ketiga yang mencatat lapan di bawah par 64.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 1:17 PM