Georgia Hall
Georgia Hall

LYTHAM ST ANNES, England: Pemain England, Georgia Hall pernah berangan-angan ketika kecil dia membenam putt untuk memenangi Terbuka Wanita British dan awal pagi tadi fantasinya itu menjadi realiti apabila dia mempamerkan keazaman dan kawalan perasaan gemuruh sebelum memenangi kejuaraan utama sulungnya di Royal Lytham & St Annes.

Ketika bapanya, Wayne bertindak sebagai kedi, pemain berusia 22 tahun itu bangkit daripada ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu semalaman Pornanong Phatlum dari Thailand untuk merakam catatan mengagumkan lima bawah par 67 pada pusingan akhir bagi keseluruhan 17 bawah par dan meraih hadiah cek juara AS$490,000 (RM1.99 juta).

Sepanjang 72 lubang, Hall hanya melakukan tiga bogey dan enam birdie pada pusingan akhir memastikannya menang dengan dua pukulan di depan Pornanong.

“Pencapaian ini terlalu bagus,” katanya.

“Ketika saya berusia sembilan tahun saya pernah menyatakan ‘ini untuk kejuaraan Terbuka British’ dan untuk mengalami pengalaman itu hari ini seperti sukar dipercayai.”

Ia juga satu kemenangan penuh emosi kerana datuknya tidak sihat.

Bergelut untuk menahan air mata ketika majlis penyampaian hadiah, dia berkata: “Trofi ini untuk datuk saya.”

Hall, nama pertamanya bersempena negeri Amerika Syarikat yang menjadi hos kejohanan Masters AS di Augusta, hanya menang dua kali sebelum ini sejak beralih kepada profesional pada 2014, sebagai pemain rookie dalam Siri Access Jelajah Wanita Eropah dan Terbuka Victoria 2016 di Australia.

Hari terakhir ternyata menjadi persaingan dua penjuru antara Hall dan Pornanong.

Pemain Thai berusia 28 tahun itu mendahului dua pukulan selepas empat birdie dalam enam lubang pertama dan masih mendahului satu pukulan selepas menamatkan sembilan lubang pertama.

Namun Hall mempamerkan kebangkitan mengagumkan pada sembilan lubang kedua dengan tiga birdie dalam empat lubang dari lubang ke-13 manakala tolakan birdie dari jarak 25 kaki pada lubang ke-16 membantunya mendahului buat kali pertama.

Hall muncul pemenang pertama dari Britain menjuarai kejohanan itu sejak pemain Scotland, Catriona Matthew, juga di Lytham pada 2009 dan menyertai Laura Davies dengan empat kejuaraan serta Alison Nicholas (Terbuka Wanita AS 1997) dan Karen Stupples (Terbuka British 2004) sebagai pemain England yang memenangi kejuaraan utama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 7:27 PM