MATSUYAMA pertama kali selaku pendahulu dalam Kejohanan PGA.
MATSUYAMA pertama kali selaku pendahulu dalam Kejohanan PGA.
AFP

Charlotte, Amerika Syarikat: Hideki Matsuyama membenam birdie lima daripada tujuh lubang terakhir untuk berkongsi kedudukan sebagai pendahulu bersama Kevin Kisner pada pusingan kedua Kejohanan PGA edisi ke-99 yang terjejas kerana ribut, awal pagi tadi.

Pemain nombor tiga dunia Matsuyama, hadir selepas kejayaan pada Kejohanan Golf Dunia di Akron minggu lalu, mencatat pusingan bebas bogey tujuh bawah par 64 untuk menyamai keputusan Kisner dengan lapan bawah par 134 keseluruhan selepas 36 lubang di Quail Hollow pada kejuaraan utama terakhir tahun ini.

“Saya tidak tahu jika pemain lain berasa gementar atau tidak, tapi ini pengalaman pertama saya mendahului pada kejuaraan utama atau berkongsi sebagai pendahulu selepas 36 lubang,” kata Matsuyama. “Jadi memandangkan ini pengalaman pertama, mungkin saya agak gemuruh.

KISNER kongsi kedudukan bersama Matsuyama.
KISNER kongsi kedudukan bersama Matsuyama.

“Tapi saya sebenarnya tidak sabar berdepan dua pusingan terakhir dan lihat apa yang boleh dilakukan.”

Ribut petir yang menangguhkan permainan hampir satu jam 45 minit hadir selepas Matsuyama melakukan tiga birdie berturut-turut bermula di lubang ke-12, namun dia menggunakan kesempatan lapangan basah apabila permainan bersambung untuk menambah birdie pada lubang ke-15 par-lima dan lubang ke-17 par-tiga.

“Boleh dikatakan putting saya benar-benar membantu,” kata Matsuyama menerusi penterjemah. “Saya melakukan beberapa pukulan bagus tapi secara keseluruhan pukulan putt saya menjadi kunci utama.

“Saya mampu membaca putt dengan baik sejak beberapa minggu lalu. Saya juga menggunakan putter baru. Ia mungkin banyak membantu.”

Matsuyama, yang mana enam penamat 10 terbaik dalam 20 kejohanan menjelang kejuaraan utama termasuk pencapaian naib juara Terbuka AS tahun ini, boleh muncul pemain lelaki pertama Jepun meraih kejuaraan utama dan hanya pemain lelaki kedua Asia melakukannya selepas pemain Korea Selatan, Yang Yong Eun pada Kejohanan PGA 2009.

Pemain Australia, Jason Day, pemenang Kejohanan PGA 2015 dan naib juara tahun lalu, merakam 66 untuk berada di tangga ketiga dengan 136.

Berkongsi tangga keempat dengan lima bawah par 137 adalah pemain Itali, Francesco Molinari, yang mencatat 64 dan pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen, yang melakukan 67.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 1:07 PM