GERAINT THOMAS
GERAINT THOMAS
AFP

PARIS: Pelumba Britain, Geraint Thomas memenuhi impiannya semasa kecil dengan menjuarai Tour de France (TdF) semalam selepas berakhir peringkat ke-21 yang dimenangi jaguh Norway, Alexander Kristoff.

Penunggang pasukan Sky itu menamatkan perlumbaan di Paris hampir dua minit di depan pencabar utamanya dari Belanda, Tom Dumoulin (Sunweb) untuk mengesahkan jersi kuning.

Rakan sepasukannya yang juga penyandang juara Chris Froome berakhir di tangga ketiga dan ketinggalan 2 minit 24 saat.

“Masih sukar untuk mempercayainya, ia menakjubkan,” kata Thomas yang tampak terlalu letih selepas mengharungi perlumbaan edisi ke-105 TdF itu.

Kemenangan pelumba berusia 32 tahun dari Wales itu adalah kejuaraan ketiga dimenangi pelumba dari Britain selepas Froome dan Bradley Wiggins serta memberikan pasukan Sky kemenangan keenam daripada tujuh edisi terdahulu.

“Penghormatan besar buat Froome,” kata Thomas. “Ia mungkin janggal, mungkin juga boleh berlaku ketegangan... dia adalah juara yang hebat dan saya sentiasa menghormatinya.

“Impian saya adalah untuk sentiasa berlumba (di TdF) dan impian itu hadir 11 tahun lalu. Kini, di sini menjadi pemakai jersi kuning di hadapan anda semua (penonton), ia sesuatu yang... wau!”

Thomas yang dikenali sebagai peminat ragbi mengambil bendera Wales sebelum mendaki podium bagi menyanyikan lagi kebangsaan British, God Save the Queen.

“Saya mula berkayuh disebabkan perlumbaan ini. Saya masih ingat saya berlari ke rumah dari sekolah untuk menontonnya,” katanya sambil turut mengucapkan penghargaan kepada isterinya, Sara.

“Sokongan yang saya peroleh... isteri saya. Terima kasih tidak terhingga kepada Sara. Dia sentiasa berada di samping saya ketika susah dan senang.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 10:08 AM