RIYAD MAHREZ
RIYAD MAHREZ
Agensi

MANCHESTER: Manchester City dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat Riyad Mahrez daripada Leicester City dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai 60 juta pound (RM320 juta).

 Perbincangan mengenai perkara itu ketika ini difahamkan di peringkat akhir dan dijangka dilengkapkan minggu ini dengan syarat lulus pemeriksaan kesihatan.

 Mahrez masih belum kembali menjalani latihan bersama Leicester selepas diberikan tambahan cuti bersama rakan senegaranya, Islam Slimani kerana ada tugasan antarabangsa bersama Algeria.

 Difahamkan, pemain berusia 27 tahun itu mahukan penyelesaian mengenai perpindahan diselesaikan sebelum dia kembali menjalani latihan dengan Leicester minggu depan.

 Pengurus City, Pep Guardiola sudah lama meminati kelibat Mahrez yang dipilih Pemain Terbaik Tahunan PFA tetapi gagal dalam usahanya mendapatkan pemain itu pada Januari lalu sekali gus membuatkan pemain berkenaan tidak gembira.

 Mahrez menghabiskan sedikit masa berada jauh dari Leicester sepanjang episod itu tetapi kembali dengan prestasi terbaiknya pada pusingan kedua saingan Liga Perdana Inggeris dan Guardiola mengotakan janji untuk kembali mengemukakan tawaran sebaik tamat saingan.

 Leicester yang hampir pasti melepaskan Mahrez sudah membuat perancangan awal apabila menandatangani James Maddison dengan nilai 25 juta pound (RM128 juta) pada musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:33 PM