MINA (dua dari kiri) mempunyai ketinggian 1.95 meter. FOTO/AFP
MINA (dua dari kiri) mempunyai ketinggian 1.95 meter. FOTO/AFP
Reuters

BOGOTA: Penjaring terbanyak Colombia kelahiran Guachene, Yerry Mina sebelum ini tidak pernah mengimpikan untuk menjaringkan gol pada Piala Dunia.

Malah dia sebelum ini bermula sebagai penjaga gol kerana mahu mengikut jejak langkah bapa dan bapa saudaranya yang bermain secara profesional di posisi itu.

Bagaimanapun, persembahannya di posisi itu terlalu teruk hingga memaksa jurulatih pertamanya, Seifar Aponza membuat pertukaran.

Pada usia 23 tahun, Mina yang bermain di posisi pertahanan mungkin akan mendapat tumpuan di Piala Dunia.

Walaupun tidak beraksi dalam perlawanan pertama menentang Jepun, dia berjaya menjaringkan gol melalui tandukan ketika menentang Senegal dan Poland hingga mendapat nama timangan ‘Mina de Oro’ atau lombong emas.

Seluruh rakyat Colombia berharap dia mampu mengulangi pencapaian menentang England pada pusingan kedua hari ini.

Mina mengikut jejak langkah pemain tengah, James Rodriguez yang menyinar di Piala Dunia 2014 selepas penyerang utama Radamel Falcao mengalami kecederaan lutut.

Mina pemain paling tinggi berbanding rakan sepasukannya dengan ketinggian 1.95 meter, kebiasaannya berlatih tanpa memakai kasut dan datang awal ketika latihan zaman kanak-kanak.

“Latihan selalunya bermula jam 4 petang dan dia akan sampai pukul 1.

“Dia akan berkata, mahu menjadi orang pertama tiba di latihan,” kata ibunya, Marianela Gonzalez kepada radio Caracol.

Dia juga pernah meminta untuk berlatih pada Hari Krismas, ujar Aponza.

“Ia membuatkan saya terfikir dia mampu menjadi hebat,” katanya.

Selain semangat, Mina yang namanya pertamanya, Yerry dipilih oleh ibunya berdasarkan watak tikus dalam kartun, Tom and Jerry juga terkenal sikap mabuk ketika menaiki kenderaan.

“Dia memang amat teruk jika berjalan jauh, terutama ketika menyertai temasya kerana sering muntah,” kata Aponza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 4:07 AM