NEYMAR mahu rakan sepasukan satu hati beraksi lebih kemas. FOTO/AFP
NEYMAR mahu rakan sepasukan satu hati beraksi lebih kemas. FOTO/AFP
AFP

SAMARA, Russia: Neymar menjelaskan Brazil perlu “belajar menderita” selepas kemenangan 2-0 mengatasi Mexico untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia sebentar tadi.

Juara lima kali itu mengatasi aksi goyah peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kedua dengan jaringan Neymar dan Roberto Firmino memastikan kemenangan dan mara antara lapan pasukan terbaik menanti pemenang Belgium atau Jepun yang akan berlangsung sebentar lagi.

“Kami harus belajar menderita,” kata Neymar.

“Ia perlawanan yang amat sukar, kami sedar kualiti lawan.”

Penyerang Paris Saint-Germain itu menampan masuk hantaran leret Willian pada minit ke-51 untuk meledak gol keenam Piala Dunia dan kedua pada kejohanan kali ini dengan jaringan pertama ketika aksi peringkat kumpulan.

Willian yang juga pemain sayap Chelsea berterusan menjadi ancaman kepada pertahanan Mexico dengan lariannya, peningkatan prestasi selepas persembahan mengecewakan ketika seri 1-1 dengan Switzerland dalam aksi pembukaan.

“Saya amat gembira dengan persembahan diri sendiri namun lebih penting kemenangan pasukan,” katanya.

Brazil dalam usaha melebarkan rekod kejuaraan keenam selepas penyingkiran memalukan di tangan Jerman pada separuh akhir empat tahun lalu di tanah air sendiri namun dijangka berdepan tugas sukar selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:18 AM