WILLIAN (kiri) sah meninggalkan Chelsea. FOTO AFP
WILLIAN (kiri) sah meninggalkan Chelsea. FOTO AFP
AFP

WILLIAN menerusi surat terbuka kepada penyokong berkata dia meninggalkan Chelsea dengan perasaan bangga selepas tujuh tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain sayap berusia 32 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal selepas gagal untuk mencapai persetujuan kontak baharu dengan Blues.

Willian menolak tawaran Tottenham Hotspur untuk menyertai Chelsea dari kelab Russia, Anzhi Makhachkala dengan nilai perpindahan £30 juta (RM163.9 juta) pada 2013.

Dia menjaringkan 63 gol sepanjang 339 penampilan dan memenangi lima trofi iaitu dua gelaran Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Ueropa.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali menyaksikannya gagal beraksi di final Piala FA ketika tewas kepada Arsenal dan aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara tewas kepada Bayern Munich.

"Masanya sudah tiba untuk saya berhijrah. Sudah pasti saya akan merindui rakan sepasukan.

"Saya juga akan merindui semua kakitangan di kelab ini yang sentiasa melayan saya seperti seorang anak, saya juga akan merindui penyokong.

"Saya meninggalkan kelab itu dengan penuh bangga dan sentiasa cuba melakukan yang terbaik sepanjang menyarung jersi Chelsea," katanya.

Willian yang juga sebahagian skuad Brazil untuk Piala Dunia 2014 dan 2018 berkata, dia tidak pernah menyesal memilih Chelsea berbanding seteru utama London, Spurs.

"Saya melalui tempoh tujuh tahun yang menarik. Pada Ogos 2013 ketika menerima tawaran daripada Chelsea, saya yakin bahawa kelab inilah yang perlu saya beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 8:02 AM