NIDZAM mahu anak buah pekemas benteng bagi menghadapi PKNS. FOTO/FAIL
NIDZAM mahu anak buah pekemas benteng bagi menghadapi PKNS. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Kedah perlu lebih fokus untuk meningkatkan benteng pertahanan dalam usaha meneruskan momentum kemenangan menjelang aksi Liga Super menentang pasukan PKNS FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff, walaupun pasukannya berjaya mencatat kemenangan 3-2 keatas pasukan Kuala Lumpur Rabu lalu, namun faktor gawang bolos menjadi kerisauan utama dalam usaha mengukuhkan peluang memburu tiga mata.

“Sememangnya kita agak gusar dengan jumlah bolos sewaktu pertemuan dengan Kuala Lumpur serta beberapa perlawanan lalu dan kita harus perhalusi segera bagi mengatasinya.”

“Saya berharap kita akan tampil lebih fokus pada isu bahagian pertahanan ini dan mampu mencatatkan persembahan terbaik dalam perlawanan menentang PKNS kali ini.”

“Tahap keyakinan yang diperolehi selepas menewaskan Kuala Lumpur menjadi inspirasi utama untuk kami bawa ke perlawanan seterusnya di laman sendiri kali ini.”

Meskipun rekod perlawanan kedua-dua pasukan sebelum ini memihak kepada Kedah pada Februari lalu dengan keputusan 4-3, Nidzam berkata Kedah tetap menganggap pertemuan kali ini berliku dan mampu memberi ancaman buat skuad Lang Merah kendaliannya yang menagih tiga mata di laman sendiri.

“Kita tidak boleh menarik nafas lega walaupun selepas mencapai dua kemenangan sebelum ini iaitu dengan Kelantan dan Kuala Lumpur, sebaliknya kita harus terus memperkemaskan setiap kelemahan yang ada dalam semua posisi.”

“Skuad kendalian Datuk K. Rajagopal yang baru tewas 0-4 kepada Selangor dalam aksi Piala FA Sabtu lalu, pastinya mahu bangkit dengan lebih semangat bagi membuktikan kewibaan sebenar mereka.”

“Kami tetap menganggap pertemuan menentang PKNS FC pada Selasa ini sebagai satu cabaran getir dan semua pemain harus menyatukan tekad serta terus fokus memburu kemenangan seterusnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 10:47 AM