KHAIRUL Helmi arah rakan jangan leka. - FOTO AMRAN HAMID
KHAIRUL Helmi arah rakan jangan leka. - FOTO AMRAN HAMID
Izzali Ismail


KAPTEN Kedah, Khairul Helmi Johari mengingatkan rakan sepasukan untuk lebih waspada supaya tidak leka sehingga termasuk ke dalam perangkap Kuala Lumpur apabila turun beraksi menentang skuad 'City Boys' pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, esok.

Khairul Helmi berkata, pasukan lawan itu begitu fokus untuk menumbangkan pasukan besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini dan Kedah perlu lebih waspada untuk menghadapi perangkap serta strategi yang akan mereka lancarkan.

“Kita juga harus kekal fokus dan tidak memandang ringan usaha serta kemampuan pihak lawan kerana mereka berpotensi melakukan kejutan.

“Bekalan motivasi yang diperoleh Kedah melalui tiga kemenangan berturut-turut menentang PKNP FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan sebelum ini perlu diteruskan dalam usaha membawa pulang tiga mata kali ini,” katanya.

Menurutnya, tiga mata pada perlawanan kali ini begitu penting untuk meletakkan Kedah pada kedudukan lebih selesa dalam carta dan mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan serta corak permainan Kedah.

“Kita dapat lihat corak serta mutu permainan Kedah semakin meningkat sejak dua hingga tiga perlawanan sebelum ini dan kekurangan yang ada sudah kita perbetulkan dalam latihan.

“Dengan persediaan yang sedang kita jalankan, saya berharap kita lebih bersedia untuk mengekang asakan pemain lawan yang mempunyai ketajaman dan pastinya akan memberi saingan sengit nanti,” katanya.

Beliau turut yakin pemain yang akan diturunkan esok sudah mempunyai suntikan aura dan semangat juang tinggi serta mampu menggalas tugas dengan berkesan untuk memburu kemenangan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 12:56 PM