PEMAIN tengah Perancis, Paul Pogba. FOTO AFP
PEMAIN tengah Perancis, Paul Pogba. FOTO AFP
AFP

MOSCOW: Dengan susuk tubuh yang tinggi serta gaya rambut tersendiri, penampilan Paul Pogba di atas padang selalu mendapat perhatian, namun bersama skuad Perancis, dia bersedia mengorbankan kepentingan peribadi demi gelaran Piala Dunia.

Perancis melangkah ke final Ahad ini menentang Croatia di Moscow dengan misi untuk menebus kekecewaan tewas di final Euro 2016 di laman sendiri kepada Portugal.

Dalam tempoh dua tahun selepas kegagalan itu, ia bukan mudah buat Pogba yang dikritik hebat di England kerana gagal beraksi cemerlang dalam perlawanan besar, serta prestasinya menurun beberapa kali musim lalu kerana corak permainan bertahannya tidak mencapai tahap yang diinginkan pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Bagaimanapun, aspek permainan Pogba itu dilihat sangat mengagumkan di Russia, di mana dia dan N'Golo Kante membentuk asas yang mantap kepada Perancis di sebalik kehebatan bahagian serangan yang diterajui Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.

"Saya mahu memenangi Piala Dunia dan anda perlu melakukan pengorbanan," kata Pogba.

"Bertahan bukan kekuatan saya, saya bukan N'Golo tapi saya gembira untuk melakukan tugas itu. Saya semakin dewasa dan matang."

Empat pemain pertahanan Perancis dan penjaga gol, Hugo Lloris mendapat pujian atas rekod empat perlawanan tanpa bolos dalam enam perlawanan, namun mereka sebenarnya dilindungi oleh keampuhan bahagian tengah hasil kombinasi Kante dan Pogba. 

Ketika merakam kemenangan 1-0 ke atas Belgium dalam aksi separuh akhir, Pogba berjaya mengawal Marouane Fellaini daripada melakukan ancaman menerusi serangan hantaran lintang.

"Pogba memang dahsyat," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps. "Dia sangat berkesan dalam melaksanakan strategi bertahan kami."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 4:10 AM