PEMAIN Denmark, Pione Sisto (kanan) mengasak pemain Panama, Michael Murillo pada aksi persahabatan, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Denmark, Pione Sisto (kanan) mengasak pemain Panama, Michael Murillo pada aksi persahabatan, awal pagi tadi. - Foto EPA

COPENHAGEN: Pemain sayap Denmark, Pione Sisto memperagakan aksi menggelecek mengagumkan sebelum meledak gol senior antarabangsa sulungnya untuk membantu kemenangan 1-0 ke atas Panama yang beraksi dengan 10 pemain pada aksi persahabatan antara dua pasukan Piala Dunia di Stadium Brondby, awal pagi tadi.

Sisto menyumbat gol tunggal pada minit ke-69, empat minit selepas penyerang Panama, Blas Perez dilayangkan kad merah kerana terjahan keras ke atas Kasper Schmeichel ketika penjaga gol Denmark itu meninggalkan kawasannya untuk menanduk bola keluar.

Tuan rumah menggunakan kelebihan itu dengan Sisto diberi ruang untuk melakukan larian pantas melepasi benteng Panama sebelum menjaringkan gol.

Denmark, yang layak ke Piala Dunia di bawah kendalian pengurus dari Norway, Aege Hareide, beraksi baik menentang Panama, yang akan beraksi pada Piala Dunia buat julung kali di Russia Jun depan.

Yussuf Poulsen melepaskan peluang keemasan untuk meletakkan tuan rumah di depan apabila dia merembat terus ke dakapan penjaga gol Jaime Penedo dalam situasi satu lawan satu susulan hantaran mengagumkan daripada Nicolai Jorgensen.

Kehebatan Sisto menggelecek serta gerakan menariknya menceriakan penyokong tuan rumah pada babak pertama namun Denmark bergelut untuk memecah kebuntuan.

Michael Murillo mencipta peluang terbaik Panama pada babak pertama namun sepakan volinya terlalu lemah untuk menyukarkan Schmeichel.

Sisto, yang beraksi dengan kelab Sepanyol, Celta Vigo, akhirnya memberikan tuan rumah gol pendahuluan sekali gus gol kemenangan apabila memecah masuk ke kotak penalti sebelum melencongkan bola ke penjuru gol dengan kaki kanannya.

Denmark bertemu Peru pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Piala Dunia pada 16 Jun depan sebelum berdepan Australia dan Perancis.

Panama diundi dalam Kumpulan G dan membuka tirai kempen mereka menentang Belgium pada 18 Jun sebelum bertemu England dan Tunisia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 7:08 AM