Cherchesov (tengah) sedang mengaturkan taktikal kepada anak buah. FOTO/AFP
Cherchesov (tengah) sedang mengaturkan taktikal kepada anak buah. FOTO/AFP
Reuters

ST PETERSBURG: Kemenangan Russia ke atas Arab Saudi pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 meredakan sedikit perasaan gementar tuan rumah yang kini yakin mempunyai pelan taktikal berkesan bagi menyekat penyerang Mesir, Mohamed Salah.

Russia dijadual menentang Mesir bagi aksi kedua peringkat Kumpulan A di sini selepas meraih kemenangan besar 5-0 ke atas Arab Saudi sekali gus menghuni tangga teratas kumpulan dan dibezakan dengan jaringan gol bersama Uruguay.

“Kami sudah menyiapkan diri kami, kami berlatih mengikut pelan,” kata jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov.

“Kami sudah melakukan segala-galanya seperti yang kami rancang untuk lakukan. Kami mengkaji Mesir dan kami sepatutnya boleh mengeksploitasi kelemahan mereka.”

Mesir memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat Salah bagi perlawanan pertama menentang Uruguay yang berakhir dengan kekalahan 0-1.

Pasukan dari Afrika itu memerlukan kemenangan ke atas Russia bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat kalah mati.

Salah yang tiba ke kejohanan dengan kecederaan bahu enggan diberikan sebarang risiko ketika menentang calon pilihan kumpulan sekali pun memiliki reputasi hebat sebagai antara penggempur paling berbahaya di Eropah selepas menyumbat 44 gol bersama Liverpool, musim lalu.

Dia juga menjadi antara komponen penting bagi negaranya untuk mara ke Russia apabila meledak 33 gol daripada 57 penampilan bersama skuad kebangsaan.

“Setiap pasukan mempunyai pemain yang kamu perlu beri lebih perhatian. Mesir adalah pasukan yang seimbang dan sudah tentu, Salah adalah pemain paling kuat, kami memahaminya.”

“Tetapi kami tidak menentang seorang saja pemain, kami perlu memberi perhatian kepada semua pemain. Kami faham bagaimana untuk mengatasinya dan esok kamu akan melihatnya,” kata Cherchesov.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 12:33 AM