PEMAIN Turki, Okay Yokuslu (kiri) mengasak pemain Russia,  Aleksei Miranchuk.    FOTO/REUTERS
PEMAIN Turki, Okay Yokuslu (kiri) mengasak pemain Russia, Aleksei Miranchuk. FOTO/REUTERS
AFP

MOSCOW: Russia meneruskan catatan tanpa menang mereka kepada tujuh perlawanan apabila seri 1-1 menentang Turki di laman sendiri awal pagi tadi pada perlawanan pemanas badan terakhir mereka, hanya sembilan hari sebelum sepak mula Piala Dunia.

Pemain tengah Yunus Malli dari kelab Bundesliga Jerman, Wolfsburg tampil dari bangku simpanan selepas rehat untuk memadamkan gol pembukaan pemain sayap kanan Spartak Moscow, Alexander Samedov sekali gus menafikan Russia kemenangan pertama dalam tempoh lapan bulan.

“Seri dilihat keputusan paling adil sekalipun kami patut menjaringkan lebih banyak gol hari ini,” kata pengurus Russia, Stanislav Cherchesov.

“Saya fikir kami bertindak lebih bagus berbanding perlawanan dengan Austria.”

Turki, yang membentuk semula pasukan selepas gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia, bermula dengan garang dalam usaha mencari gol awal namun tidak berjaya mengancam dalam suku pertama.

Russia, yang menerima sokongan padu 30,000 kapasiti penonton di Arena VTB, gelanggang CSKA Moscow, memecah kebuntuan pada minit ke-35 apabila perancang utama CSKA, Alan Dzagoev menyambar bola di luar kotak penalti sebelum mengumpan kepada Samedov yang tenang merembat masuk dari sudut sukar.

Selepas rehat, anak buah Mircea Lucescu mengasak bertali arus untuk mencari gol penyamaan dan Malli menyamakan kedudukan apabila mengatasi penjaga gol Russia, Igor Akinfeev dengan tendangan leret dari jarah 25 ela selepas sejam.

“Ia perlawanan getir buat pasukan Russia,” kata bos Turki, Lucescu. “Saya sedar tekanan pasti memuncak menjelang permulaan Piala Dunia. Bagi kami, ia satu pengalaman berguna dan saya gembira dengan keputusan ini.”

Russia kini menang lima kali, seri enam dan kalah sembilan perlawanan sejak Cherchesov mengambil alih pada Ogos 2016.

Russia memulakan kempen Piala Dunia menentang Arab Saudi dalam Kumpulan A di Stadium Luzhniki, Moscow pada 14 Jun ini sebelum berdepan Mesir di St Petersburg pada 19 Jun dan Uruguay di Volgograd pada 25 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:23 AM