ALAN DZAGOEV
ALAN DZAGOEV
Agensi

SOCHI: Russia menerima berita gembira menjelang pertembungan dengan Croatia pada aksi suku akhir Piala Dunia apabila tonggak utamanya, Alan Dzagoev kembali berlatih selepas pulih daripada kecederaan.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu tidak beraksi bersama skuad kendalian Stanislav Cherchesov sejak mengalami kecederaan hamstring selepas 24 minit perlawanan berlangsung ketika mereka menewaskan Arab Saudi 5-0 pada perlawanan pembukaan.

Pada perlawanan itu, pemain gantiannya, Denis Cheryshev menjaringkan dua gol.

Dzagoev tidak diturunkan sebagai pemain gantian ketika pasukan tuan rumah mengalahkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan kedua dan tidak berlatih pada Rabu lalu akibat masalah otot belakang.

Bagaimanapun dia yang ditemui pemberita mengakui sudah bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama andai diberi kepercayaan Cherchesov.

“Ia kecederaan lama di bahagian belakang, saya sudah kembali berlatih hari ini,” kata Dzagoev. “Saya sudah bersedia untuk beraksi.”

“Kami mengharungi kempen Piala Dunia yang hebat di Russia dan pasukan yang sudah tersingkir memang layak tersingkir.”

Dzagoev yang menjaringkan tiga gol dalam 21 aksi liga untuk CSKA Moscow pada musim 2017-18, berkata, Cherchesov masih belum mendedahkan perancangannya kepada pemain Russia bagi menghadapi perlawanan suku akhir.

“Saya fikir Croatia kecewa kerana mereka akan bermain menentang kami kerana kami pasukan tuan rumah. Seluruh Russia akan menyokong kami. Saya berharap kami tidak akan mengecewakan penyokong kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 11:34 AM