PEMAIN kelahiran Tunisia, Alaeddine Bouslimi perkuat benteng TRW. FOTO Bibi Ramjani Ilias Khan
PEMAIN kelahiran Tunisia, Alaeddine Bouslimi perkuat benteng TRW. FOTO Bibi Ramjani Ilias Khan
Hasbullah Ibrahim


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan mengikat  pemain kelahiran Tunisia, Alaeddine Bouslimi yang bakal mengisi posisi pertahanan skuad The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia  musim 2018.

Alaeddine, 27, beraksi sebagai pemain pertahanan memulakan karier bersama African Club (2009) dan kelab terakhir diwakili ialah CS Hamman Lif di Tunisia.

Kehadiran Alaeddine difahamkan pilihan utama ketua jurulatih Fajer Ebrahim bagi mengisi posisi pertahanan ditinggalkan oleh Nik Shahrul Azim atau lebih dikenali Pok Nik dan akan mengisi slot kuota antarabangsa pertahanan import skuad Liga Super Kelantan musim 2018.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mengikat kontrak Alaeddine selama enam bulan menggantikan Pok Nik yang dipancing PKNS FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"KAFA berharap dengan kemasukan pemain import dipilih sendiri Fajer, ia dapat mengimbangi kekuatan barisan pertahanan pasukan yang agak goyah untuk beraksi lebih cemerlang selepas ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada Alaeddine dapat beraksi menentang Kuala Lumpur pada 22 Mei ini, Bibi Ramjani berkata, pihaknya berharap beliau dapat diturunkan dan cepat serasi bergandingan dengan Cassio Francisco De Jesus di barisan pertahanan.

"Alaeddine juga menjalani latihan fasa pertama di bawah kendalian Fajer namun beliau sekadar menjalani latihan ringan memandangkan keadaan padang kurang sesuai digunakan untuk latihan," katanya.

Menurut Bibi, KAFA nengucapkan terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bertolak ansur membenarkan Kelantan membawa masuk pemain import baharu.

"Kehadiran Alaeddine dapat membina kembali kekuatan pasukan yang nampak agak pincang selepas menggunakan hanya seorang tenaga import berikutan dua pemain import ditamatkan kontrak dengan persetujuan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:49 PM