Pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Attirmidzie Rahman


KHIDMAT penyerang kelahiran Lubnan, Mohammad Ghaddar bersama Kelantan akhirnya menemui titik noktah apabila dia dilepaskan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penamatan kontrak pemain berusia 34 tahun ini dibuat atas persetujuan bersama dengan mengambil kira beberapa aspek.

Katanya, Mohammad Ghaddar turut mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligamen’ (ACL) yang memerlukan tempoh rawatan panjang.

"Kami sudah berbincang lanjut mengenai penamatan kontrak Mohammad Ghaddar dan ia sudah dipersetujui kedua-dua pihak.

"Walaupun kami masih memerlukan khidmat seorang penyerang import tetapi keputusan terpaksa diambil terutama selepas dia kini mengalami kecederaan ACL yang memerlukan tempoh rawatan lama.

"Untuk pembayaran gaji juga kami sudah lunaskan lebih awal kepadanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan pemergian Mohammad Ghaddar bakal memberi ruang kepada penyerang import baharu buat pasukan itu, Bibi Ramjani enggan mengulas lanjut soal susulan pihaknya masih lagi berdepan sekatan perpindahan masuk pemain import baharu.

"Kemasukan pertahanan import, Alaeddine Bouslimi pun dikira bernasib baik dapat dilakukan bagi memperkuatkan pasukan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 2:22 PM