HAIQAL Hanafi.
HAIQAL Hanafi.
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim berharap dua anak didiknya dapat menyambung kejayaan Khairul Hafiz Jantan bergelar juara dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun dari 7 hingga 10 Jun depan.

Poad meletakkan kepercayaan terhadap Haiqal Hanafi dan Zulfiqar Ismail untuk beraksi dalam acara riben biru itu.

Ketika kejohanan sama di Ho Chi Minh, Vietnam dua tahun lalu, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz memenangi pingat emas dengan masa 10.36s menewaskan Ippei Takeda dari Jepun (10.41s) dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).

Poad berkata, Haiqal dan Zulfiqar antara harapan memberikan saingan malah mereka mampu setanding Khairul Hafiz dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi.

“Insya-Allah, saya harap kejayaan Khairul Hafiz dalam acara pecut 100m dapat diteruskan Haiqal dan Zulfiqar, tapi cuaca di Jepun mungkin memainkan peranan berbanding di Vietnam yang hampir sama dengan Malaysia.

“Kami cuba dapatkan pingat dalam acara 4x100m dan 4x400m, tapi dalam acara lain sukar diperkatakan. Namun saya percaya Haiqal dan Zulfiqar akan memberikan saingan.

“Mungkin ‘Khairul Hafiz’ seterusnya datang dari Haiqal dan Zulfiqar ... mungkin mereka akan ‘meletup’ tahun ini atau tahun depan,” kata Poad ketika dihubungi, semalam.

Poad berkata, menjelang kejohanan itu, sesi latihan akan berlangsung di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Johor (SSTMI) pada waktu pagi dan malam kerana kejohanan berlangsung pada Ramadan.

Selain itu, kejohanan olahraga Terbuka Malaysia dari 11 hingga 13 Mei ini juga dijadikan medan untuk menguji tahap kemampuan sebelum ke kejohanan itu.

Selain Haiqal yang turut beraksi dalam acara 200m serta Zulfiqar dalam acara 4x100m, atlet lain yang akan menggalas cabaran adalah Abdul Wafiy Roslan (200m, 4x100m, 4x400m) dan Saiful Safwan Saifuddin (400m, 4x400m).

Turut disenaraikan Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal (4x400m), Ilham Suhaimi (400m, 4x400m) dan Aiedel Saadon (4x100m).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:24 AM