JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim (kiri) akan tampil bersama anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan pada Terbuka Perak. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim (kiri) akan tampil bersama anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan pada Terbuka Perak. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mohd Khairie Khalid

 

JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim dijangka akan kembali menyambung tugasnya menjelang Terbuka Perak bulan depan.

Poad akan tampil bersama anak didiknya, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan yang bakal membuat penampilan sulung acara 100 meter (m) musim ini selepas dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring kaki kiri.

Jurulatih berkenaan mula kembali bertugas Isnin lalu, dan kehadirannya di padang melonjak semangat atlet-atlet bimbingannya.

“Selepas dua minggu keluar dari hospital, saya mula turun padang tetapi hanya memantau latihan atlet, memasuki minggu ketiga saya sudah kembali melatih mereka.

“Alhamdulillah semua atlet semakin bersemangat dan bersikap serius. Saya juga gembira kerana olahraga bagaikan darah daging saya. Insya-Allah saya akan berada di Terbuka Perak (17 dan 18 Mac) nanti,” kata Poad.

Begitupun jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail berkata, diaperlu melakukan pemeriksaan lanjut sebulan sekali bagi memastikan kesihatannya berada di tahap terbaik.

Sebelum ini seluruh negara gempar apabila Poad yang bertanggungjawab melahirkan generasi baharu pelari pecut seperti Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam Abdul Manap, dilaporkan koma akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Kesnya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor.

Antara kejayaan Poad adalah melahirkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz.

Poad membentuk The Speedy Jantan untuk menamatkan kemarau 14 tahun emas negara dengan catatan masa 10.38 saat, sekali gus menewaskan juara edisi lalu dari Filipina, Eric Cray.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 10:29 PM