GANDINGAN penerjun negara Pandelela Rinong (kiri) dan Cheong Jun Hoong (dua ari kiri) serta Nur Dhabitah Sabri (kanan) dan Leong Mun Yee (dua, kanan) menunjukkan  pingat emas dan gangsa yang dimenangi mereka pada Temasya Sukan Komanwel Gold Coast Australia sejurus tiba.
GANDINGAN penerjun negara Pandelela Rinong (kiri) dan Cheong Jun Hoong (dua ari kiri) serta Nur Dhabitah Sabri (kanan) dan Leong Mun Yee (dua, kanan) menunjukkan pingat emas dan gangsa yang dimenangi mereka pada Temasya Sukan Komanwel Gold Coast Australia sejurus tiba.
Aida Adilah Mat


TIADA istilah cuti rehat buat barisan penerjun negara apabila mereka berdepan jadual padat biarpun baru tiba di tanah air hari ini selepas menyertai temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Hanya diberikan rehat sehari, mereka akan kembali menjalani latihan esok.

Penerjun utama wanita, Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal Kanada 27 April ini.

Selain itu, ada tiga lagi kejohanan penting buat mereka iaitu dua Siri Terjun Dunia dan Piala Dunia di Wuhan China pada Jun sebelum ke Sukan Asia Indonesia-Palembang pada Ogos ini.

Bagi juara dunia, Jun Hoong biarpun pulang dengan satu emas hasil kejayaannya dalam acara 10 meter seirama bergandingan bersama Pandelela, dia tetap tidak mahu meletakkan sebarang sasaran di semua kejohanan yang disertainya.

“Saya tak akan terlalu memberi tekanan untuk menang di setiap kejohanan yang disertai. Apa yang perlu dilakukan ambil setiap cabaran itu satu persatu dan kemudian tengok apa yang boleh dilakukan.

“Itu yang saya lakukan di semua kejohanan yang disertai termasuk di Sukan Asia nanti,” katanya.

Nama Jun Hoong mula melonjak hasil kejayaannya meruntuhkan penguasaan penerjun dari China untuk muncul juara di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary tahun lalu.

Aksinya terus konsisten apabila membuka tahun ini dengan kejayaan satu perak dan satu gangsa di dua siri Kejohanan Terjun Dunia masing-masing di Beijing dan Jepun.

Skuad terjun negara menamatkan saingan di Sukan Komanwel dengan satu emas dan dua gangsa.

Dua gangsa disumbang oleh Nur Dhabitah dan Leong Mun Yee dalam acara 3m papan anjal terjun seirama serta 10m terjun seirama.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:23 PM