Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet terjun negara terus cemerlang mencatat kegemilangan apabila Cheong Jun Hoong menjadi penerjun kelima layak ke temasya Olimpik Rio Ogos ini.

Jun Hoong menempah tiket ke Olimpik menerusi acara 10 meter terjun seirama di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Rio, bergandingan bersama Pandelela Rinong yang terlebih dulu layak ke Olimpik dalam acara 10m platform individu.

Lebih menggembirakan gandingan Jun Hoong bersama Pandelela turut menyumbangkan pingat perak dalam acara yang dikuasai juara dunia dari China Chen Ruolin dan Liu Huixia.

Ruolin dan Huixia meraih 344.04 mata, menewaskan Jun Hoong dan Pandelela (318.90) manakala gangsa milik gandingan Sarah Barrow dan Tonia Couch (308.82).

Beraksi di Pusat Akuatik Maria Lenk, venue sama berlangsungnya acara terjun pada temasya Olimpik menyaksikan atlet negara gagal menggugat kehandalan penerjun China yang menguasai saingan sejak dari terjunan pertama dengan Jun Hoong dan Pandelela turut konsisten tanpa membiarkan pasangan lain memintas mereka di kedudukan kedua.

Bagi Pandelela, misinya ke Kejohanan Terjun Piala Dunia tercapai apabila berjaya melayakkan diri dalam acara terjun seirama.

“Saya bersyukur. Sasaran utama saya ke kejohanan ini adalah untuk melayakkan diri ke Olimpik dalam acara terjun seirama akhirnya terlaksana.

“Esok akan bermula acara individu, jadi saya akan cuba membuat terjunan terbaik dan menikmati acara kegemaran ini,” katanya.

Skuad terjun negara dilihat berpeluang cerah menambah slot ke Olimpik apabila Jun Hoong sekali lagi akan turun dalam acara 3m papan anjal terjun seirama bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri awal pagi nanti.

Untuk layak secara merit ke Olimpik Rio, atlet terjun negara sekurang-kurangnya perlu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik acara individu dan empat terbaik terjun seirama.

Atlet terjun yang sudah mengesahkan tempat ke Rio sebelum ini membabitkan Pandelela (10m platform individu), Wendy Ng (3m papan anjal individu), Nur Dhabitah Sabri (10m platform individu) dan Ooi Tze Liang (10m platform dan 3m papan anjal individu).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:07 AM