BEKAS Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad tak mahu Presiden FAM mengkritik diri sendiri.
BEKAS Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad tak mahu Presiden FAM mengkritik diri sendiri.
Syafiq Aznan


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak seharusnya melihat kejatuhan ranking skuad kebangsaan sebagai kegagalan hingga ‘memaksa’ beliau perlu melepaskan jawatan selaku peneraju badan induk itu.

Justeru, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad menyarankan Tunku Ismail supaya tidak ‘mengkritik diri sendiri’ dan tidak melakukan penilaian hanya sekadar berdasarkan satu aspek semata-mata.

Jelas Ridzuan, tidak adil untuk melihat pencapaiannya buat masa ini memandangkan tempoh kendaliannya selaku presiden baru sahaja memasuki usia setahun.

“Tunku Ismail seharusnya kekal sebagai Presiden FAM kerana beliau sudah bekerja keras khususnya dalam mengotakan janji selama ini. Kejatuhan ranking bukanlah satu kegagalan memandangkan sebelum ini juga kedudukan skuad kebangsaan berada pada kedudukan sebegitu.

“Banyak perkara positif yang dapat dilihat selepas beliau menjadi Presiden FAM. Sukar untuk meningkatkan ranking skuad kebangsaan dalam masa singkat, jadi sebab itu Tunku Ismail perlu kekalkan jawatan kerana perubahan hanya dapat disaksikan dalam jangka masa panjang.

“Biarkan Tunku Ismail meneruskan perkara positif yang sedang berlaku ketika ini dan selepas lima tahun, baru beliau sendiri boleh menilai sama ada berpuas hati atau tidak dengan perkembangan sepanjang lima tahun itu.

“Tunku Ismail sudah menabur benih untuk kemajuan bola sepak di negara ini dan pokoknya pun baharu tumbuh. Teruskan membaja supaya kita dapat menuai hasilnya kelak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, persatuan itu sekali lagi berdepan tamparan hebat selepas Tunku Ismail mengumumkan peletakan jawatan susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan yang menjunam tiga lagi anak tangga.

Meskipun sebelum ini beliau pernah menyatakan hasrat untuk berundur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, namun perkembangan menerusi akaun Johor Southern Tigers memberi petanda betapa beliau serius untuk melepaskan jawatannya sebagai orang nombor satu persatuan itu.

“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dan ini satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala-galanya dan ia menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 12:50 PM