KAMARUDIN ABDULLAH
KAMARUDIN ABDULLAH
Zulfaizan Mansor


HUKUMAN penjara memang tersedia buat pemain yang didapati bersalah terbabit dengan gejala rasuah dalam bola sepak.

Perkara itu dijelaskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berdasarkan kes bekas seorang jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang dikenakan hukuman penjara 15 bulan dan denda RM200,000 atas kesalahan merasuah pemainnya pada 2012.

Kamarudin yang juga seorang peguam bagaimanapun berkata, hukuman penjara itu tetap bergantung kepada sejauh mana tahap serius kes rasuah berkenaan.

“Hukuman terhadap pesalah rasuah dalam bola sepak terbahagi kepada dua saluran iaitu FAM dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kalau FAM, mereka hanya boleh denda, gantung seumur hidup atau sebagainya.

“Tapi bagi SPRM, kalau memang terbukti bersalah mengambil rasuah, pesalah itu boleh dikenakan denda, malah boleh pergi ke hukuman penjara mengikut undang-undang jenayah.

“Bawah Akta SPRM ada peruntukan hukuman penjara ke atas pesalah rasuah. Tapi ia bergantung kepada situasi sama ada kes itu berat atau tidak.

“Kalau kes kecil mungkin tidak sampai ke hukuman penjara, mungkin denda saja,” kata Kamarudin ketika dihubungi, hari ini.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad mencadangkan pemain yang didapati bersalah mengambil rasuah dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara minimum tiga tahun sebagai langkah untuk membendung gejala sama terus berulang pada masa depan.

Berdasarkan rekod, masih belum ada mana-mana pemain yang dikenakan hukuman penjara kerana kesalahan rasuah dengan hukuman paling berat dikenakan adalah dibuang daerah dan digantung seumur hidup daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak.

Justeru, Kamarudin menyokong penuh sekiranya hukuman penjara dikenakan ke atas pemain yang bersalah mengambil rasuah kerana hukuman penggantungan seumur hidup dilihat tidak memberi kesan keseluruhan untuk mengatasi masalah itu.

“Memang patut (dikenakan hukuman penjara) sebab kalau era amatur dulu gaji pemain tak tinggi berbanding pemain sekarang yang bergaji puluhan ribu. Kalau ambil rasuah lagi memang ‘tiada maaf bagimu’.

“Hukuman gantung saja dilihat belum cukup untuk mengatasi masalah ini kerana kes sama tetap berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 7:36 PM