MENURUT sumber, kedua-dua pemain terbabit akan berdepan situasi yang lebih rumit, sekiranya mereka didapati bersalah.
MENURUT sumber, kedua-dua pemain terbabit akan berdepan situasi yang lebih rumit, sekiranya mereka didapati bersalah.
Fabian Peter

 

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) diambang melakukan keputusan terbesar dalam sejarah sukan itu, sekiranya mereka menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup ke atas dua pemain Malaysia yang disyaki terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Sumber terdekat sukan badminton, menegaskan bahawa penggantungan seumur hidup akan menggegarkan arena badminton, kerana pemain dan pegawai akan lebih berhati-hati ketika mempertimbangkan menerima sebarang rasuah.

Menurut sumber itu, kedua-dua pemain terbabit - yang digantung sementara daripada sebarang pertandingan - akan berdepan situasi yang lebih rumit, sekiranya mereka didapati bersalah, kerana kes ini turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Hukuman penggantungan seumur hidup bermakna kedua-dua pemain ini juga tidak boleh mempunyai kaitan langsung dengan badminton termasuk tidak boleh bermain, tidak boleh menjadi jurulatih atau memegang sebarang posisi dalam organisasi berkaitan permainan itu," kata sumber.

"Saya difahamkan, SPRM turut menunggu keputusan sesi pendengaran. Jika didapati bersalah, kedua-dua pemain juga boleh dipenjara. Bukan itu saja, malah penaja turut bersedia menamatkan kontrak. Jadi bukan saja aksi tetapi kedua-dua pemain ini bakal kehilangan semuanya."

Terdahulu, dalam laporan eksklusif, NSTP Sukan mendedahkan seorang pemain pemain profesional sedang disiasat BWF kerana disyaki terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan dan difahamkan BWF mengesyaki pemain itu berdasarkan gaya hidupnya yang dikatakan mewah.

Namun, kemudiannya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bukan hanya satu tetapi sebaliknya dua pemain kini sedang disiasat oleh badan induk dunia itu.

Kedua-dua pemain profesional itu akan berdepan panel bebas di Singapura selama dua hari bermula esok dan akan diwakili peguam masing-masing.

"Saya membaca laporan (NSTP) petikan bekas pengarah teknikal BAM Morten Frost Hansen, saya bersetuju dengannya. Ia adalah keputusan sukar, tetapi saya berharap BWF akan mengenakan hukuman berat kepada sesiapa saja yang cuba mengatur keputusan perlawanan.

"Ini adalah kes pertama, dan semua harus sedar mengenai kesannya, sekiranya mereka memilih perjalanan karier sebegini (mengatur perlawanan dan rasuah)," kata sumber itu lagi.

Ahli Jawatankuasa BAM, Jadadish Chandra, turut akan menghadiri sesi pendengaran di Singapura esok sebagai pemerhati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 9:32 PM