PEMAIN Kelantan, Ahmad Shukri Abdul Hamid (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Pahang, Muhd Safuwan Baharudin pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Bernama
PEMAIN Kelantan, Ahmad Shukri Abdul Hamid (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Pahang, Muhd Safuwan Baharudin pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Bernama
Oleh Attirmidzie Rahman


KELANTAN sudah memulakan 'post-mortem' terhadap posisi yang pincang selepas tiga perlawanan awal pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Tindakan drastik itu diambil skuad Kijang Merah selepas mereka mencatat dua kekalahan dan satu seri termasuk kelemahan jelas dalam pertemuan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur malam tadi yang berkeputusan 3-0.

Pengurus pasukan, Mohd Yahya Jamada Ali, berkata pihaknya melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan pasukan sekali gus memperbaikinya sebelum perlawanan seterusnya menentang Perak, 24 Februari ini.

"Hari ini kita sudah memulakannya dan meneliti semua aspek kelemahan pada setiap posisi pasukan dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini (termasuk malam tadi).

"Mahu atau tidak kita perlu baiki semua sekali termasuk taktikal dalam tempoh rehat lebih kurang dua minggu ini sebelum pasukan bakal menerima kunjungan Perak di Kota Bharu nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai ketiadaan pemain harapan dalam ketiga-tiga perlawanan itu sebelum ini, Mohd Yahya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan kerana pasukannya tampil beraksi dalam serba kekurangan tahun ini.

"Jika mahu dibandingkan dengan pasukan lain, Kelantan memang jauh kerana pemain kita boleh dikatakan semuanya kali pertama beraksi bersama pasukan selain masing-masing belum cukup pengalaman.

"Jadi musim ini kita kena lebih berusaha keras dalam membina sebuah pasukan baharu dengan kekuatan yang tersendiri dan penyokong pula diharap terus memberi peluang dan kepercayaan kepada pasukan kerana sememangnya kami sedang mencapai ke arah itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yahya berkata, dalam masa membina sebuah pasukan baharu, penyokong perlu terus memberi peluang kepada barisan kejurulatihan dan tidak terus menghukum dalam sesebuah perlawanan saja.

"Bagi saya sekarang bukan masa untuk buang apa yang sudah kita ada cuma apa yang diperlukan hanya lebih tumpuan dan lakukan sesuatu untuk baiki kelemahan.

"Seperti contoh dalam perlawanan pembukaan bersama Melaka United (MU) dan Terengganu, pasukan sudah menunjukkan perkembangan positif di bawah kendalian jurulatih, Sathit Bensoh...mungkin dengan Pahang malam tadi ada kelebihan datang dari pasukan lawan, itu saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 8:56 PM