AKSI antara Sri Pahang dan NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Sri Pahang dan NSFC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel akur dengan kelebihan dan kehebatan dimiliki Negeri Sembilan FC (NSFC) selepas skuad bimbingannya tewas 3-0 dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Menurut beliau, anak buah K Devan ternyata beraksi dengan baik di semua posisi pasukan itu hingga menyukarkan jentera serangan Sri Pahang membuat percubaan tepat dan menghasilkan jaringan gol.

"Negeri Sembilan dilihat beraksi dengan baik malam ini (malam tadi), malah bahagian pertahanan mereka berjaya menutup ruang serta menyekat setiap serangan Pahang hingga menyukarkan pemain saya melakukan percubaan baik dan tepat.

"Biarpun mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dan berjaya mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan gol namun jelas Negeri Sembilan lebih baik di setiap posisi.

"Saya ucap tahniah kepada Negeri Sembilan kerana beraksi baik dan mereka layak memenanginya," katanya kepada media selepas perlawanan malam tadi.

Begitupun, jurulatih berasal dari Perancis itu menegaskan bahawa masalah kecederaan yang dialami beberapa pemain utama dalam pasukannya turut menyumbang kepada kekalahan itu kerana ia jelas menjejaskan rentak dan penampilan skuad Tok Gajah dalam usaha memberikan persembahan diharapkan.

Beliau bagaimanapun akan berusaha memastikan sebarang kelemahan dalam pasukan akan diperbaiki bagi mengharungi perlawanan akan datang.

"Kita akan kenal pasti setiap kelemahan dalam pasukan dan merangka strategi terbaik bagi menghadapi perlawanan akan datang untuk kembali mendapatkan kemenangan, sekali gus memastikan kita berupaya keluar daripada zon bawah liga," katanya.

Selepas menamatkan 10 perlawanan, Sri Pahang FC kini menghuni tangga kedua terbawah liga dengan mengumpul lapan mata selepas sekadar mencatat dua kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:23 PM