PENGENDALI Terengganu FCTomislav Steinbruckner
PENGENDALI Terengganu FCTomislav Steinbruckner
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akui aksi serba tidak kena antara faktor pasukannya dibelasah Sabah FC 0-4 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Lebih memeritkan, kekalahan itu hadir di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dalam keadaan padang 'yang 'becak' berikutan hujan berterusan yang melanda di negeri ini.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 2,000 penonton itu, ketiadaan lima tonggak pertahanan berikutan masalah kecederaan memudahkan pasukan lawan terdiri daripada Ramon Macedo, Saddil Ramdani, Miguel Cifuentes dan Muhammad Jafri Firdaus Chew merobek gawang yang dikawal Suhaimi Husin.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Croatia itu enggan mencipta alasan, sebaliknya sedar aksi buruk diperagakan anak buahnya itu yang bagaikan 'hilang' di setiap posisi mengakibatkan misi tiga mata lebur begitu sahaja.

"Kita secara taktikal hilang kedudukan dalam setiap pergerakan bola bermula dari babak pertama perlawanan lagi sehingga lawan berjaya menjaringkan tiga gol.

"Ketiadaan empat tonggak pertahanan yang mengalami kecederaan jelas memperlihatkan kelemahan di posisi berkenaan biarpun pemain yang diturunkan beraksi dengan bersungguh-sungguh.

"Tapi saya tidak mahu menyalahkan mereka selepas aksi tidak bermaya pasukan, malah saya juga enggan mencipta alasan atas kekalahan itu, lagipun perlawanan sudah selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 2:22 PM