ARSENAL meletakkan harga tawaran bagi Sanchez RM191 juta. FOTO/AFP
ARSENAL meletakkan harga tawaran bagi Sanchez RM191 juta. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger mengakui awal pagi tadi bahawa masa depan Alexis Sanchez tidak menentu ketika Jose Mourinho dan Pep Guardiola berdiam diri mengenai potensi perpindahan penyerang itu ketika jendela perpindahan pemain bulan ini.

Usaha Guardiola membeli Sanchez gagal pada hujung jendela perpindahan musim panas lalu dan City menjadi pilihan untuk mengikatnya kali ini namun kelab itu jelas keberatan untuk memenuhi harga diminta Arsenal £35 juta (RM191 juta).

United kendalian Mourinho difahamkan turut membabitkan diri, membida sekitar £25 juta (RM136.5 juta) bagi mengatasi tawaran City £20 juta (RM109 juta) ketika mereka dilihat mahu menambah pilihan serangan sekali gus menafikan musuh utama mereka.

Apabila ditanya jika United berminat terhadap pemain kebangsaan Chile berusia 29 tahun itu, yang tamat kontraknya hujung musim ini, Wenger menyatakan “tiada apa yang benar-benar berasas ketika ini.”

Ditanya sama ada khabar angin itu benar, pengurus Arsenal itu menjawab dengan sinis.

“Anda yang memutuskannya,” katanya. “Anda boleh katakan mengenainya ketika ini... bukannya saya tidak mahu memberitahu anda, saya tidak mahu memberikan maklumat salah dan ketika ini saya perlu katakan tiada sebarang keputusan dibuat.”

Wenger mengakui persaingan bidaan boleh membantu Arsenal namun menyatakan ia bukan situasi semasa.

Dalam sidang akhbar kemudian, Guardiola dan Mourinho tidak banyak memberi komen mengenai perpindahan bintang Arsenal itu.

Guardiola berkata, fokusnya adalah mengekalkan persembahan baik City apabila mereka berkunjung ke Liverpool bagi aksi Liga Perdana Inggeris malam esok.

“Saya faham kenapa anda bertanyakan soalan ini (mengenai Sanchez), ia tugas anda,” kata Guardiola. “Tapi anda tahu jawapan saya. Saya fokus terhadap Liverpool.”

Mourinho, yang menganggap Sanchez sebagai “pemain luar biasa” berkata: “Saya tidak tahu jika betul atau salah dari segi etika bercakap mengenai pemain kelab lain.

“Sanchez seorang pemain Arsenal,” jelasnya. “Mungkin hujung minggu ini dia menyarung jersi Arsenal jadi saya tidak fikir bagus berbicara mengenai Alexis Sanchez.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 7:40 AM