ALEXIS SANCHEZ
ALEXIS SANCHEZ
AFP

BOURNEMOUTH: Arsene Wenger menjangkakan masa depan Alexis Sanchez akan diselesaikan tidak lama lagi selepas penyerang Arsenal itu diketepikan daripada skuadnya ketika kalah 1-2 di Bournemouth.

Sanchez, yang menjadi ejen bebas hujung musim ini, diburu Manchester United dan Manchester City yang hampir mengikat pemain kebangsaan Chile itu pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ini.

United muncul pilihan terbaik kerana kesanggupan mereka memenuhi harga diminta Arsenal £35 juta (RM190 juta) dengan kemungkinan Henrikh Mkhitaryan turut dimasukkan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Wenger menegaskan semua pilihan masih terbuka namun berasakan tidak boleh memilih pemain itu bagi kunjungan ke Stadium Vitality sekalipun beliau menegaskan Sanchez sedia bermain.

“Alexis mahu bermain,” kata pengurus Arsenal itu. “Tapi ia tempoh sukar buatnya. Dia sering kali komited hingga kini tapi dia mungkin boleh berpindah semalam, hari ini atau tidak berpindah terus.

“Ia akan diputuskan dalam tempoh 48 jam akan datang. Ia agak sukar buatnya kerana dia sudah bersedia. Itulah sebabnya saya memutuskan untuk tidak menurunkannya. Dia tidak menolak untuk bermain.”

Ditanya sama ada perjanjian semakin dimuktamadkan, Wenger berkata: “Saya tidak arif dengan perkara ini tapi ia boleh berlaku hari ini, esok atau tidak berlaku sama sekali. Itulah sebabnya saya tidak membuat keputusan (untuk memilihnya)... saya tidak mahu membawanya kemudian tiba-tiba dia pergi ke tempat lain.”

Wenger, yang mengkritik pasukannya kerana banyak melepaskan peluang sebelum membenarkan Bournemouth bangkit sesudah gol pembukaan Hector Bellerin dengan jaringan Callum Wilson dan Jordon Ibe, menegaskan beliau akan merekrut penyerang baru jika Sanchez meninggalkan Emirates.

“Jika pemain seperti Sanchez pergi, sudah tentu kami perlu memberikan respons. Adakah dia akan pergi atau tidak, saya tidak tahu, tapi ketika ini, ia jendela perpindahan dan dalam tempoh sebegini, anda cuba menggunakan pemain yang benar-benar fokus untuk berada di kelab.”

Arsenal dikaitkan dengan pembelian penyerang Bordeaux, Malcom dengan harga £35 juta (RM190 juta) namun Wenger enggan mengesahkan minatnya terhadap pemain Brazil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 12:01 PM