Burhan Jumaah (kanan) cuba mengekang asakan Matthew Davies.
Burhan Jumaah (kanan) cuba mengekang asakan Matthew Davies.
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui kesilapan sendiri anak buahnya menjadi faktor kekalahan 1-4 di tangan Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Stadium Changshu, China hari ini.

Menurutnya, kesilapan individu membolehkan pasukan juara 2013 itu mendapat dua gol ‘percuma’ biarpun secara keseluruhannya beliau memuji kesungguhan pemain dalam memberikan tentangan.

“Kami kalah kepada pasukan yang lebih baik, apa yang membezakan adalah kualiti individu pemain Iraq. Pemain cuba memberi saingan tapi malangnya kami dibolosi dua gol atas kesilapan sendiri.

“Saya sedih melihat kepada keputusan kekalahan 1-4 itu, apatah lagi dengan dua kesilapan individu. Apabila anda bermain di peringkat ini dan melakukan kesilapan seperti itu, anda akan dihukum.

“Namun, apa yang positif melihat pemain bangkit sekalipun ketinggalan. Mereka cuba menyusun semula permainan dan menyerang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Kesilapan individu yang dimaksudkan Kim Swee adalah gol kedua Iraq yang dihasilkan Amjeed Attwan Kadhim pada minit ke-28 apabila Syazwan Andik gagal mengeluarkan bola dari sebelah kiri gawang dan gol keempat Hussein Al-Saedi (m-81) berpunca hantaran lemah Nor Azam Azih.

Dua lagi gol Iraq dihasilkan oleh Mohammed Khalid Jaffal pada minit ke-5 dan Alaa Ali Mhawi (57).

Tambah mengecewakan apabila selepas Safawi Rasid meledak gol pada minit ke-79, Malaysia berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-87, namun bola sepakan pemain gantian Muhammad Akhyar Rashid yang dilihat sudah melepasi garisan gol tidak dikira pengadil dari Uzbekistan, Valentin Kovalenko.

“Saya kena melihat semula video gol berkenaan, adalah tidak adil untuk saya membuat penilaian ketika ini. Sama ada gol atau tidak apa yang penting adalah persembahan pemain dalam 90 minit permainan,” kata Kim Swee.

Peluang Malaysia masih belum tertutup apabila masih ada dua perlawanan untuk diharungi berdepan Jordan Sabtu ini dan Arab Saudi Selasa depan untuk layak ke suku akhir.

Dan Kim Swee tetap mengharapkan kebangkitan anak buahnya.

“Kami masih belum menyerah kalah, kami akan cuba mendapatkan keputusan lebih baik pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 7:23 PM