Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Tuduhan tidak berasas!” Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai dakwaan badan induk itu gagal menangani masalah rasuah bola sepak.

Jelasnya, FAM memandang serius usaha membanteras gejala tidak bermoral itu dan ini terbukti dengan penubuhan Jawatankuasa Integriti FAM sejak 2010 yang turut mewajibkan setiap persatuan bola sepak negeri menubuhkan jawatankuasa berkenaan di peringkat negeri pada tahun 2013.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan juga memantau liga, pemain dan pegawai bagi menghindari gejala tidak sihat dalam bola sepak seperti rasuah dan menentukan keputusan perlawanan.

“Justeru untuk mengatakan FAM perlu disiasat FIFA kerana gagal menangani rasuah dan menyimpan pendapatan hasil perolehan sesuatu yang tidak berasas,” kata Hamidin dalam satu kenyataan media semalam.

Ketika ini Jawatankuasa Integriti FAM dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat dan turut dianggotai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Roslee Chik, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Datuk Azam Baki.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:28 AM