PENYOKONG menceroboh padang selepas tamat perlawanan antara United dan Bristol City untuk meraikan kemenangan mereka. -Foto EPA
PENYOKONG menceroboh padang selepas tamat perlawanan antara United dan Bristol City untuk meraikan kemenangan mereka. -Foto EPA
AFP

LONDON: Manchester United menerima tamparan hebat apabila tersingkir daripada saingan Piala Liga dan apa yang lebih memalukan apabila mereka tumbang di tangan pasukan Liga Kejuaraan, Bristol City dengan 2-1.

Ia sekali gus menyaksikan perjalanan anak buah Jose Mourinho terhenti di peringkat suku akhir.

Dalam satu lagi aksi, Chelsea berjaya mengenepikan tentangan sengit Bournemouth hasil kemenangan 2-1 menerusi jaringan Willian dan Alvaro Morata.

United yang kini berada di tangga kedua saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tampil dengan skuad terbaik apabila mempertaruhkan gandingan tiga penyerang bertaraf bintang iaitu Marcus Rashford, Zlatan Ibrahimovic dan Anthony Martial ketika berkunjung ke Bristol City itu.

Malah, kepulangan semula jeneral tengah United, Paul Pogba yang digantung tiga aksi sebelum ini masih gagal memastikan kemaraan pasukannya meskipun dia turut memiliki dua peluang terbaik untuk mencetak nama selaku penjaring.

LUKAKU (baju putih) bersalam dengan pemain Bristol City selepas tamat perlawanan. -Foto Reuters
LUKAKU (baju putih) bersalam dengan pemain Bristol City selepas tamat perlawanan. -Foto Reuters

Bristol terlebih dulu memimpin aksi menerusi ledakan Joe Bryan pada minit ke-51 untuk menewaskan Sergio Romero di gawang pelawat.

Gol pembukaan tuan rumah itu nyata mengejutkan United yang kembali memperkemaskan aksi dengan Ibrahimovic menyamakan kedudukan 1-1 tujuh minit kemudian.

Terdesak memburu gol tambahan, Mourinho memasukkan Romelu Lukaku dan mengeluarkan Daley Blind dengan Henrikh Mkhitaryan menggantikan Ibrahimivoc bagi menambah sengat di jentera hadapan.

Skuad bimbingan Lee Johnson dilihat tenang menyerap asakan pelawat dan hasilnya tuan rumah berjaya menambah gol kedua di penghujung saingan menerusi sentuhan Korey Smith.

Sementara itu, drama di Stamford Bridge tidak kurang hebatnya apabila Chelsea dan Bournemouth hampir diheret ke masa tambahan selepas Dan Gosling memadam gol awal Willian dalam masa kecederaan babak kedua.

Tetapi dalam masa beberapa saat, pasukan tuan rumah kembali di depan hasil jaringan Morata sekali gus menutup peluang pelawat untuk mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:55 AM