XHAKA (tiga dari kanan) menjaringkan gol kemenangan Arsenal menentang Chelsea di Stadium Emirates. FOTO Reuters
XHAKA (tiga dari kanan) menjaringkan gol kemenangan Arsenal menentang Chelsea di Stadium Emirates. FOTO Reuters
AFP

London: Arsenal meneruskan era tanpa Alexis Sanchez dengan penuh bergaya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Chelsea 2-1 di Stadium Emirates sekali gus bertemu pendahulu Liga Perdana, Manchester City pada final Piala Liga Inggeris.

City kendalian Pep Guardiola melangkah ke final di Wembley selepas menundukkan kelab Liga Kejuaraan, Bristol City 3-2 pada separuh akhir kedua dan menang menerusi agregat 5-3 sekali gus mencerahkan peluang untuk memenangi empat kejuaraan musim ini.

Selepas seri tanpa jaringan pada aksi pertama, pelawat mendahului menerusi Eden Hazard tetapi Arsenal menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Antonio Rudiger sebelum Granit Xhaka meledak gol kemenangan pada babak kedua.

Arsene Wenger memiliki rekod luar biasa dalam Piala FA bersama Arsenal tetapi sepanjang 21 tahun mengendalikan kelab itu, beliau belum pernah menjulang Piala Liga, saingan yang menyaksikan jurulatih Perancis itu sering menurunkan pemain muda.

Guardiola pula terdesak untuk memenangi kejuaraan sulungnya di City dan kini berpeluang memenangi empat piala.

Wenger tidak dapat menurunkan Henrikh Mkhitaryan yang menyertai Gunners dari Manchester United awal minggu ini sebagai sebahagian perjanjian perpindahan dengan Sanchez manakala Ross Barkley tampil buat kali pertama bersama Chelsea.

ARSENE Wenger. FOTO Reuters
ARSENE Wenger. FOTO Reuters

“Pada babak pertama, kami memberikan Chelsea ruang dan penghormatan terlalu besar. Kami agak takut untuk bermain dan kami menerima padahnya,” kata Wenger.

“Kami tidak bermain di posisi tepat tapi kami memperbaiki aksi selepas itu dan mula menguasai perlawanan.

“Kami kehilangan seorang pemain berbakat iaitu Alexis Sanchez tapi apabila pasukan tidak tahu apa yang berlaku di bilik persalinan, perhatian dan tumpuan sedikit menjejaskan prestasi. Kami sedar perlu segera menanganinya.”

Pengendali Chelsea, Antonio Conte yang kehilangan Alvaro Morata dan Cesc Fabregas, menguasai babak pertama dan jaringan pembukaan mereka dibatalkan sebelum Hazard memecah kebuntuan hasil hantaran Pedro.

Bagaimanapun Arsenal menyamakan kedudukan seminit kemudian selepas kesilapan memalukan Rudiger yang menghasilkan gol sendiri. Tandukan Nacho Monreal hasil sepakan sudut terkena tubuh Marcos Alonso serta Rudiger dan menerjah jaring sambil penjaga gol Blues, Willy Caballero gagal berbuat apa-apa.

Willian terpaksa dikeluarkan sebelum rehat dan Conte memasukkan Barkley untuk aksi pertamanya tetapi bekas pemain Everton itu kelihatan bergelut untuk menyesuaikan diri.

Arsenal yang mula mendapat rentak, terus mengasak sebaik babak kedua bermula dan Xhaka yang mendapat bola hasil hantaran lintang Alexandre Lacazette, menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 2:43 AM