MOURINHO (kiri) mahu Lukaku fokus aksi seterusnya. - Foto AFP
MOURINHO (kiri) mahu Lukaku fokus aksi seterusnya. - Foto AFP
AFP

MOSCOW: Jose Mourinho mengingatkan Romelu Lukaku supaya melupakan sebarang pujian berikutan permulaan cemerlangnya di Manchester United apabila dua gol penyerang Belgium itu membantu kemenangan 4-1 ke atas CSKA Moscow.

Lukaku, 24, menyumbat dua gol di Arena VEB awal pagi tadi sekali gus mengumpul 10 gol dalam sembilan aksi pertamanya di United dan membantu anak buah Mourinho tiga mata di depan dalam Kumpulan A Liga Juara-Juara.

Hingga kini Lukaku dilihat tidak terjejas dengan bebanan berikutan tanda harga £75 juta (RM424 juta) namun Mourinho berkata, bekas penyerang Everton itu dijangka menerima lebih banyak pujian selepas ini.

LUKAKU (tengah) cuba melepasi kekangan dua pemain CSKA. - Foto REUTERS
LUKAKU (tengah) cuba melepasi kekangan dua pemain CSKA. - Foto REUTERS

“Angka menakjubkan buat Romelu. Dia merendah diri, dia mahu belajar sepanjang masa, dia mahu meningkat sepanjang masa,” kata pengurus United itu.

“Saya fikir dia ada impian dan saya tidak fikir dia akan teruja dengan perkataan hebat anda kerana dia tahu apabila keputusan tidak menyebelahinya, anda akan mengkritiknya dengan hebat.

“Saya yakin dia boleh terus menyerlah bersama kami.”

Kemenangan itu disahkan dalam tempoh 27 minit buat United yang mendahului 3-0.

Digandingkan bersama dalam formasi 3-4-1-2, Lukaku dan Anthony Martial pantas mempamerkan keserasian apabila pemain Perancis itu melakukan hantaran silang yang ditanduk masuk Lukaku bagi gol pembukaan United pada minit keempat.

Selepas menyempurnakan penalti pada minit ke-19, Martial mengumpan untuk gol ketiga Lukaku (m-27) dan Henrikh Mkhitaryan menambah gol keempat (m-57) sebelum Konstantin Kuchaev meraih gol sagu hati tuan rumah (m-90).

Rungutan Mourinho hanyalah United kini berdepan aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di laman lawan petang Sabtu ini.

“Pasukan ini mantap, pasukan ini bermain dengan bagus,” ujar Mourinho, pasukannya terikat mata dengan pendahulu liga Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 12:02 PM