KELANTAN wakil Malaysia dalam saingan Piala Super Boost Sportsfix.
KELANTAN wakil Malaysia dalam saingan Piala Super Boost Sportsfix.
Naqib Nor Said


TIKET Kejohanan Piala Super Boost Sportsfix yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula 13 Januari depan sudah mula dijual hari ini.

Kelantan akan mewakili Malaysia pada kejohanan tiga penjuru itu manakala dua lagi pasukan ialah Persija Jakarta dari Indonesia dan Ratchaburi FC pula mewakili Thailand.

Pengarah Urusan Kumpulan Total Sports Asia, Marcus Luer berkata harga tiket bagi menyaksikan perlawanan itu ialah RM10 hingga RM120 dengan diskaun sebanyak 25 peratus ditawarkan kepada peminat yang membeli pas untuk ketiga-tiga perlawanan.

“Selain jualan atas talian, tiket juga boleh didapati di pejabat MyTicket. Asia yang terletak di Puchong dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang serta 9 pagi hingga 1 tengahari pada Sabtu.

“Tiket VIP turut boleh dibeli dengan RM1,500 bagi setiap individu yang mana setiap bilik VIP ini hanya boleh memuatkan 12 tetamu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kejohanan itu akan menjadi acara bola sepak kompetitif pertama berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas diubah suai sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Perlawanan pembuka tirai menyaksikan pertembungan antara Ratchaburi FC bertemu Persija Jakarta pada 13 Januari, diikuti Kelantan menentang Persija (16 Januari) sebelum aksi penutup antara Kelantan dan Ratchaburi FC (20 Januari).

Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh dibuat menerusi www.spotsfixcup.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 9:21 PM