AMIRIZDWAN Taj (kanan) berazam mempertahankan rekod tidak bolos di Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
AMIRIZDWAN Taj (kanan) berazam mempertahankan rekod tidak bolos di Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Hasbullah Ibrahim


PERTAHANAN Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin berazam mempertahankan rekod tidak bolos biarpun sedar pasukannya bakal ditentang sengit Ratchaburi FC dalam misi merebut Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Skuad bimbingan jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh itu yang kini mengumpul tiga mata hasil kemenangan menewaskan Persija Jakarta 1-0 Selasa lalu, wajib menang untuk merangkul piala pertama musim ini.

Amirizdwan yang juga bekas pemain PKNS FC berkata, dia tetap bersemangat dan bersedia memburu kemenangan kedua dalam kejohanan berkenaan.

“Rekod benteng pertahanan Kelantan dalam pertandingan ini cemerlang kerana masih belum dibolosi dalam empat aksi setakat ini,” katanya.

Dalam empat perlawanan itu, Kelantan mengalahkan MPKB U-bes (4-0), PJ Rangers (2-0) serta seri tanpa jaringan dengan PKNP FC dan Terengganu FC II.

“Kami sedar laluan perit bakal menanti pasukan apatah lagi skuad Ratchaburi FC sudah pasti mahu merakam kemenangan selepas tewas 1-3 kepada Persija Jakarta dalam perlawanan pembukaan.

“Namun bagi kami kejohanan ini satu pendedahan untuk menguji persiapan pasukan sebelum Liga Super bermula 3 Februari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu tetap optimis pasukannya mampu mempamer aksi terbaik malam ini.

“Kami tetap hormat dengan pasukan dari Thailand itu walaupun mereka tewas dalam aksi pembukaan kepada Persija Jakarta. Namun, pada masa sama kami juga bertekad memperagakan aksi terbaik,” kata bekas pertahanan Terengganu dan PKNS FC itu yang menyasarkan satu trofi bersama Kelantan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 11:56 AM