KHAIRUL Fahmi.
KHAIRUL Fahmi.
Attirmidzie Rahman

Kota Bharu: Penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, mahu rakan sepasukan lebih waspada dalam pertemuan terakhir berdepan Ratchaburi FC, esok.

Peringatan itu dilontarkan bekas penjaga gol kebangsaan itu demi memastikan pasukannya muncul juara Piala Super Boost SportsFix sekali gus merangkul piala pertama musim ini.

Katanya, perlawanan berdepan pasukan dari Thailand bakal menyajikan satu perlawanan sengit selepas masing-masing mahu menjadi juara buat julung kali.

“Perlawanan dengan Ratchaburi ini bagi saya adalah cabaran kuat yang memerlukan Kelantan beraksi dengan lebih berhati-hati.

“Ini kerana mereka mempunyai kekuatan pemain, jurulatih serta taktikal lebih baik berbanding Persija Jakarta selain mahu mencipta kemenangan selepas kalah 1-3 berdepan pasukan sama.

“Apapun saya yakin ketua jurulatih, Sathit Bensoh sudah ada taktikal berkesan dalam perlawanan itu nanti dan saya juga berharap semua rakan pemain mengambil peluang keemasan ini demi mendapatkan kemenangan dan piala pertama buat pasukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairul Fahmi atau sinonim dengan panggilan ‘Apek’ berkata, pertandingan tiga penjuru membabitkan dua pasukan ternama Indonesia dan Thailand itu mampu menguji kemampuan sebenar pasukan selain dapat memperlihatkan keserasian sebelum menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Pada aksi penutup tirai saingan tiga penjuru itu, Kelantan hanya perlu mencatat keputusan seri berdepan wakil Liga Perdana Thailand, Ratchaburi FC untuk mengesahkan kejuaraan sulung dalam saingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 1:52 AM